Tujuh Negeri Catat Kenaikan Perdagangan dengan Nilai RM229.4 Bilion pada November 2025, Empat Negeri Rekod Eksport dan Import Lebih Tinggi
4 min read
INFOGRAFIK - STATISTIK EKSPORT IMPORT MENGIKUT NEGERI NOVEMBER 2025
Malaysia merekodkan jumlah perdagangan bernilai RM263.9 bilion pada November 2025, dengan nilai eksport sebanyak RM135.0 bilion dan import RM128.9 bilion, seperti yang dilaporkan dalam penerbitan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, November 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Prestasi ini mencerminkan aktiviti perdagangan luar negara yang terus berkembang, disokong oleh sumbangan signifikan beberapa negeri utama.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, nilai eksport Malaysia pada November 2025 meningkat sebanyak RM8.9 bilion atau 7.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh prestasi eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang, yang mencatatkan pertambahan sebanyak RM6.9 bilion, diikuti Johor (+RM5.2 bilion), Perak (+RM699.1 juta), Sabah (+RM36.3 juta) dan Negeri Sembilan (+RM17.7 juta). Walau bagaimanapun, beberapa negeri merekodkan penurunan nilai eksport, antaranya Selangor, Sarawak, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur.
Pulau Pinang terus mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan sebanyak 39.2 peratus kepada jumlah eksport Malaysia. Kedudukan ini diikuti oleh Johor dengan 21.1 peratus, Selangor (15.2%), Sarawak (6.7%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.3%), sekali gus menyerlahkan peranan penting negeri-negeri berkenaan dalam menjana perdagangan luar negara.
Bagi prestasi import pula, nilai import Malaysia pada November 2025 meningkat ketara sebanyak RM17.6 bilion atau 15.8 peratus berbanding November 2024. Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan import di Pulau Pinang (+RM9.4 bilion), Selangor (+RM5.0 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM3.2 bilion), Johor (+RM707.8 juta), Perak (+RM681.3 juta), Melaka (+RM398.3 juta) dan Sabah (+RM165.2 juta). Namun, beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penurunan nilai import.
Dari segi sumbangan import mengikut negeri, Pulau Pinang mendominasi dengan bahagian sebanyak 28.6 peratus, diikuti Selangor (26.2%), Johor (18.3%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.6%) dan Kedah (4.9%). Corak ini menunjukkan kebergantungan tinggi sektor perindustrian dan pembuatan di negeri-negeri berkenaan terhadap import bahan mentah dan komponen.
Dalam perkembangan berkaitan ketelusan data, Malaysia turut mencipta sejarah apabila buat julung kalinya menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain. Lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 sebelum ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh akses, kualiti dan keterbukaan data rasmi. Platform OpenDOSM NextGen pula berperanan sebagai hab data dan visualisasi interaktif yang memudahkan pengguna menganalisis pelbagai statistik negara melalui portal rasmi DOSM.