Afgan Janjikan Malam Sarat Emosi Dalam Retrospektif Showcase Malaysia

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi sebuah persembahan istimewa berjudul Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Showcase ini diadakan bersempena dengan pelancaran album terbaharunya yang turut diberi judul Retrospektif.

Menurut Afgan, pemilihan tajuk Retrospektif mencerminkan perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Baginya, makna retrospektif adalah momen untuk melihat kembali apa yang telah berlaku di masa lalu dan menjadikannya pelajaran untuk terus berkembang menjadi insan yang lebih baik. Album ini menjadi refleksi kepada proses pembelajaran dan pertumbuhan yang telah dilaluinya beberapa bulan terakhir, sehingga akhirnya melahirkan karya yang begitu peribadi dan bermakna.

Album Retrospektif turut mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama yang dilancarkan oleh Afgan selepas tujuh tahun. Penyanyi berusia 36 tahun itu menyifatkan karya ini sebagai titik balik dalam perjalanan seninya, sekali gus kembali kepada genre Indonesian Pop yang telah membesarkan namanya. Beliau mengakui sudah lama tidak menghasilkan karya dalam genre tersebut, menjadikan album ini terasa sangat tepat untuk menggambarkan kembalinya dirinya kepada akar muzik asal.

Menjelaskan mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan menyatakan bahawa Kuala Lumpur sudah dianggap sebagai rumah keduanya. Bagi dirinya, sokongan luar biasa daripada peminat Malaysia menjadi antara sebab utama showcase ini diadakan di sini. Afgan turut menyuarakan keterujaannya untuk mempersembahkan lagu-lagu baharu secara langsung buat pertama kali di Malaysia agar peminat dapat merasai perjalanan muzik terbaharunya dengan lebih dekat.

Afgan juga memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan kerana suasananya yang lebih kasual dan intim, sesuai dengan konsep muzik dalam album Retrospektif yang bersifat lebih organik dan “raw”. Beliau berharap suasana tersebut dapat menghadirkan pengalaman muzik yang jujur dan penuh emosi buat para peminat.

Dalam Retrospektif Showcase nanti, Afgan akan mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album tersebut dengan susunan muzik asal, selain rangkaian lagu popularnya yang telah lama digemari peminat. Beliau berjanji akan memberikan persembahan terbaik agar setiap lagu dapat meninggalkan makna dan kenangan tersendiri kepada para penonton. Bagi Afgan, penghargaan terbesar ialah apabila lagu-lagunya mampu memberi kekuatan dan semangat kepada peminat untuk menghadapi kehidupan dengan lebih positif.

Pihak penganjur, Renjana Idea, turut meluahkan rasa bangga kerana dapat membawa Afgan kembali ke pentas Malaysia. Mereka menyifatkan Afgan Retrospektif Showcase sebagai satu persembahan yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah refleksi perjalanan seni penyanyi berbakat besar itu yang begitu dekat di hati peminatnya. Showcase ini dijangka menjadi pengalaman yang penuh emosi dan bermakna, khususnya buat peminat setia Afgan di Malaysia.

Tiket bagi Afgan Retrospektif Showcase telah mula dijual sejak 1 Oktober lalu melalui laman web www.golive-asia.com. Harga tiket bermula daripada RM358 bagi kategori General Standing, RM398 untuk VIP Standing, RM698 bagi Normal Seat, RM798 untuk Premium Seat dan RM1,398 bagi VIP Box. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti perkembangan terkini melalui laman sosial rasmi Renjana Idea serta platform media sosial rasmi penganjur.