Peminat muzik di Malaysia bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, apabila Afgan Retrospektif Showcase dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Showcase ini diadakan bersempena pelancaran album terbaru penyanyi berusia 36 tahun itu, bertajuk Retrospektif, yang mencerminkan perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak tiket mula dijual pada 1 Oktober 2025, jualan menerima sambutan luar biasa, membuktikan besarnya pengaruh dan keterujaan peminat di Malaysia untuk menyaksikan persembahan ini.
Menurut Afgan, album Retrospektif menandakan titik balik dalam kerjayanya, kembali ke genre Indonesian Pop yang membesarkan namanya, selepas tujuh tahun tidak melancarkan album penuh berbahasa Indonesia. Pilihan Malaysia sebagai lokasi showcase bukan sekadar simbolik, tetapi juga kerana Kuala Lumpur dianggap sebagai “rumah kedua” penyanyi itu, di mana sokongan peminatnya amat luar biasa. Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi bagi mencipta suasana lebih kasual dan intim, sejajar dengan konsep muzik organik dan ‘raw’ yang diketengahkan dalam album baharu ini.

Showcase ini akan menampilkan persembahan lagu-lagu baharu dari album Retrospektif, selain deretan hits popular Afgan seperti Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Terima Kasih Cinta, Untukmu Aku Bertahan, Jodoh Pasti Bertemu, Bukan Cinta Biasa, Panah Asmara, Ada, Dia Dia Dia, Knock Me Out, Pendam, dan Wajahmu Mengalihkan Duniaku. Setiap lagu akan dibawakan dengan susunan muzik asal bagi memberikan pengalaman mendengar secara langsung yang jujur dan dekat dengan peminat Malaysia.
Azlina, wakil penganjur Renjana Idea, berkata showcase ini bakal menjadi malam penuh emosi, nostalgia, dan memori buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu Afgan. Peminat dijanjikan pengalaman muzik yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga sarat makna, di mana setiap lagu mampu memberi kekuatan dan inspirasi dalam kehidupan seharian mereka.

Tiket untuk Afgan Retrospektif Showcase boleh didapati di https://www.golive-asia.com dengan harga bermula dari RM358 (General Standing) hingga RM1,398 (VIP Box). Peminat digalakkan untuk membuat tempahan awal bagi memastikan tempat mereka menyaksikan persembahan epik ini dan merasai pengalaman mendengar lagu-lagu hits Afgan secara langsung buat kali pertama di Malaysia.



