Selepas tiga dekad tidak tampil di pentas besar, kumpulan rap legenda 4U2C akhirnya kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert We 4U2C yang berlangsung penuh meriah di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada malam Isnin. Dengan tema “Bringin’ Back Da 90’s Flava”, lebih 3,000 penonton hadir untuk menyaksikan persembahan penuh bertenaga daripada kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena hip hop Malaysia era 90-an.
Selama lebih dua jam, 4U2C menghadiahkan rangkaian lagu popular mereka yang digubah semula dengan sentuhan muzik segar, diperkukuhkan dengan visual moden dan penceritaan perjalanan seni yang begitu menyentuh hati. Ketua kumpulan, Datuk AC Mizal, meluahkan rasa terharu apabila ribuan peminat masih setia memberi sokongan. Katanya, sambutan luar biasa ini membuktikan karya dan muzik 4U2C terus segar dalam ingatan serta tetap dekat di hati pendengar biarpun zaman sudah banyak berubah.
Konsert ini turut mempertemukan semula enam ahli asal iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam, yang bersama-sama mengembalikan aura kehebatan 4U2C di pentas. Sentuhan magis komposer terkenal Aubrey Suwito selaku Pengarah Muzik turut memperkayakan persembahan dengan gabungan elemen nostalgia dan kontemporari, menjadikannya sebuah persembahan mantap dan berkelas tinggi.

Malam bersejarah itu menjadi lebih istimewa dengan kemunculan artis jemputan seperti kumpulan Res2, M’Steen dan A to Z yang turut menghangatkan pentas dengan lagu popular masing-masing, sekali gus menambah warna kepada malam penuh kenangan tersebut.
Konsert We 4U2C dianjurkan oleh Juss Events Sdn. Bhd. dengan sokongan penuh Millennium Group sebagai penaja utama. Era, Sinar, Gegar dan Mix tampil sebagai rakan radio rasmi manakala Astro Gempak menjadi rakan media digital. Sorakan serta laungan peminat sepanjang malam membuktikan legasi 4U2C masih utuh dan konsert ini menandakan satu detik bersejarah buat kumpulan tersebut selepas sekian lama tidak beraksi bersama di pentas besar.