ZFIX Cabar Diri Cipta Rekod MBR: Tukar Bateri iPhone Paling Banyak Dalam 12 Jam

Zfix, jenama tempatan yang terkenal dengan kepakaran dalam perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan telefon pintar, bakal melakar sejarah menerusi satu cubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Penukaran Bateri iPhone Terbanyak Dalam Masa 12 Jam”. Acara bersejarah ini dijadualkan berlangsung pada Ahad, 7 September 2025 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di cawangan baharu Zfix di Bangunan PKNS Bizpoint, Seksyen 7, Shah Alam.

Ditubuhkan pada tahun 2022, Zfix berkembang pesat sebagai penyedia servis yang dipercayai khususnya untuk peranti Apple. Dengan pendekatan profesional, telus dan beretika, syarikat ini kini bersedia untuk menunjukkan keupayaan teknikal serta operasinya di pentas nasional. Cubaan rekod tersebut bakal disertai oleh 30 juruteknik bertauliah, dibantu 10 petugas audit dan sokongan operasi, selain lima kaunter verifikasi sah. Zfix menyasarkan lebih 1,000 unit bateri iPhone berjaya ditukar dalam tempoh 12 jam, sekaligus menonjolkan kecekapan operasi mereka serta kepentingan penjagaan peranti pintar secara profesional dan sah.

Proses penukaran bateri akan dijalankan mengikut garis panduan MBOR. Setiap unit akan direkodkan nombor siri bateri lama dan baharu, dimasukkan ke dalam sistem log manual serta digital, disahkan oleh juruteknik dan penyelia teknikal, selain dirakamkan melalui video berterusan sebagai bukti sahih. Semua data akan diaudit secara langsung sebelum diserahkan kepada pihak MBOR dalam tempoh 48 jam selepas acara berakhir.

Sempena cubaan rekod ini, Zfix turut menganjurkan Zfix Mobile Fest yang menawarkan pelbagai aktiviti sampingan berbentuk interaktif, bermanfaat dan menyeronokkan. Pengunjung berpeluang menikmati pemeriksaan kesihatan telefon percuma, menyertai bengkel mini mengenai penjagaan peranti, serta mengambil bahagian dalam cabutan bertuah dengan hadiah menarik. Selain itu, turut disediakan photo booth interaktif, cabaran TikTok, zon rehat, makanan ringan, Wi-Fi percuma, ruang kolaborasi jenama serta zon kanak-kanak bagi menjadikan acara ini mesra keluarga dan inklusif.

Menurut wakil syarikat, Muhammad Zulhelmi Mohd Yusof selaku Pengarah Zfix, cubaan mencipta rekod ini bukan sekadar soal angka, sebaliknya lebih kepada menyampaikan mesej bahawa industri servis telefon pintar boleh dijalankan secara sah, telus dan diiktiraf. Beliau menegaskan bahawa Zfix Mobile Fest adalah simbol komitmen terhadap integriti, inovasi dan khidmat pelanggan, serta bukti bahawa jenama tempatan mampu menetapkan piawaian industri pada tahap tertinggi.

Pihak Zfix berharap agar cubaan ini mendapat pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records, sekaligus mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju dalam amalan servis teknologi yang bertauliah dan diyakini.