Loco Janji Aksi Panas di Kuala Lumpur, Scraps Tour 2 November

Berita baik buat peminat K-rap di Malaysia apabila Loco bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Kuala Lumpur sempena jelajah terbaharu. 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 November ini, hari Ahad, jam 7 malam. Konsert ini dianjurkan oleh Starry Live Entertainment dengan kerjasama The WonderLand+.

Jelajah ini diadakan bersempena pelancaran album studio ketiga Loco yang berjudul “Scraps”, sekali gus menjadi album pertama di bawah label Locomotive yang diasaskannya sendiri. Album tersebut menampilkan 12 buah lagu dengan gaya penceritaan tersendiri, selain menampilkan kolaborasi bersama Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri, antara artis lain. Untuk rangka jelajah Asia kali ini, Loco turut dijadualkan membuat persembahan di Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong.

Loco mula mencuri perhatian pada tahun 2012 selepas muncul sebagai juara pertama rancangan televisyen rap Korea Selatan, “Show Me the Money”. Sejak itu, namanya terus melonjak sebagai salah seorang penyanyi rap terkemuka Korea dengan lagu popular seperti “No More”, “You Too” dan “Don’t Give It to Me”. Beliau juga pernah bekerjasama dengan ramai artis terkenal termasuk Hwasa, Crush dan Gray yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah satu nama besar dalam dunia hip-hop Korea.

Pertunjukan Loco sering digambarkan sebagai persembahan intim tetapi penuh semangat. Beliau bukan sahaja bergantung pada visual, malah berjaya memukau penonton dengan karisma serta penguasaan pentas yang luar biasa. Selain persembahan dinamik, interaksi bersama peminat seperti sesi perbualan dan nyanyian bersama sering menjadi momen istimewa yang meninggalkan kenangan manis. Konsert di Kuala Lumpur ini dijangka akan mencerminkan perkembangan Loco bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai insan yang terus dekat dengan peminatnya.

Tiket konsert akan mula dijual pada hari Jumaat, 5 September jam 11 pagi melalui my.bookmyshow.com. Peminat berpeluang menikmati pelbagai faedah eksklusif seperti sesi raptai, foto berkumpulan, sesi ucap selamat tinggal, kad cenderahati serta poster bertandatangan yang disediakan dalam jumlah terhad untuk kategori tertentu.

Dengan reputasi hebat di pentas serta barisan lagu popular yang terus menjadi siulan, kemunculan Loco di Kuala Lumpur pastinya akan menjadi antara konsert yang paling dinantikan peminat K-rap pada tahun ini. Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diperoleh melalui laman Instagram rasmi Starry Live Entertainment serta halaman Facebook mereka.