Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24), sebuah acara yang meraikan kreativiti serta keaslian muzik bebas tanah air, telah melengkapkan siri kemuncaknya dengan majlis penyampaian hadiah peraduan “Tonton ALI24 & Menang Motor”. Peraduan ini diadakan bersempena Siaran Langsung Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2024 pada 27 Julai lalu, sekaligus memberi penghormatan kepada penonton yang menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik indie tanah air.
Tahun ini menandakan kali kedua Honda Motorcycle Malaysia bekerjasama dengan Anugerah Lagu Indie. Sebagai tanda penghargaan, sebuah motosikal Honda RS-X Winner bernilai RM10,298 telah ditawarkan sebagai hadiah utama. Kenderaan tersebut menjadi milik pemenang bertuah, Fathana Nadirah bt Mohd Tareh, 36 tahun, yang berjaya menepati syarat penyertaan pertandingan.
Majlis penyampaian hadiah berlangsung di Honda Impian X V Power Motor Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor. Penyampaian disempurnakan oleh Steven Chin, Division Head of Marketing Honda Motorcycle Malaysia, bersama Jennifer Thompson selaku Co-EP Anugerah Lagu Indie 2024. Acara turut diserikan dengan kehadiran Eddick Cheah, Brand Comms Manager Honda; Helmi Azman daripada pasukan Maeztro SCK Honda Racing Team; dan Haziq Fairuze mewakili Idemitsu Honda Yam Racing.

Tajaan ini memperlihatkan komitmen Honda dalam mengukuhkan hubungan dengan golongan belia di Malaysia melalui platform muzik indie. Peraduan “Tonton ALI24 & Menang Motor” dianjurkan secara eksklusif di Platform X, khusus untuk penonton siaran langsung YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie. Sepanjang siaran, tiga kod unik didedahkan pada segmen berbeza. Peserta perlu mengumpulkan kesemua kod, menjawab satu soalan berkaitan Honda, dan menghantarnya melalui ciapan di Platform X dengan menandakan akaun rasmi @anugerahlaguindie serta @hondamotorcycle.my, selain menyertakan hashtag #ALI2024HONDA.
Pemenang ditentukan berdasarkan siapa yang terlebih dahulu menghantar jawapan dengan tepat dan lengkap. Promosi peraduan berlangsung dari 21 hingga 27 Julai 2025 manakala penentuan pemenang dibuat pada hari finale, 27 Julai 2025 di Jiospace, Petaling Jaya. Penyertaan ini bukan sahaja memberi peluang peminat untuk berinteraksi dengan acara muzik, tetapi juga menjadikan Anugerah Lagu Indie sebagai sebuah platform yang terus mendekatkan dunia seni dengan masyarakat.
