TanahAir Films Sdn. Bhd. dengan penuh iltizam dan aspirasi baharu mengumumkan bahawa Konsert Legasi P. Ramlee, yang merupakan salah satu acara utama di bawah inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, bakal melalui transformasi besar. Disokong oleh penglibatan pelbagai kementerian serta sektor korporat, acara ini akan berkembang daripada sebuah persembahan satu malam kepada sebuah festival seni dan budaya bertaraf nasional.
Festival yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2026 itu akan tampil dengan format baharu yang lebih meriah, inklusif dan berimpak tinggi. Perubahan ini diperkukuh oleh sokongan rakan penaja strategik yang melihatnya sebagai platform warisan negara dengan potensi besar untuk menyatukan seni, budaya dan industri kreatif.
“Kami tidak lagi melihat Konsert Legasi P. Ramlee sebagai sekadar persembahan satu malam, tetapi sebagai titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan. Dengan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka dan sokongan industri kreatif, langkah ini membolehkan kami memperluas pengaruh serta ruang penglibatan masyarakat dan rakan korporat,” ujar Dato’ Khairul Anwar Salleh, Pengarah Eksekutif TanahAir Films.
Menurut beliau, pendekatan festival ini membuka peluang lebih strategik untuk penyertaan jenama dan penaja, termasuk pengaktifan kreatif, penyertaan sosial dan penyebaran mesej nasional yang bersifat menyeluruh.

Bagi Adlin Aman Ramlie, Pengarah Kreatif Festival dan salah seorang peneraju Projek Perdana P. Ramlee, perubahan ini adalah peluang untuk memperluas maksud legasi seniman agung negara itu. “Dari pentas konsert ke medan seni budaya, festival ini memberi ruang kepada kami untuk membawa semula roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi. Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, beliau mewakili nilai, semangat zaman, suara bangsa dan pemikir berani yang menyentuh isu, nilai dan rasa. Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” katanya.
TanahAir Films merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja dan rakan media yang setia menyokong Projek Perdana P. Ramlee sejak awal. Penangguhan acara ini dilihat sebagai langkah berani demi memastikan festival yang bakal diadakan kelak benar-benar memberi impak besar sebagai acara seni dan budaya berskala nasional. Pihak penganjur turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul, sambil berharap sokongan padu ini akan terus mengiringi perjalanan mereka merealisasikan projek yang akan dikenang sepanjang zaman.
Bagi pembeli tiket sedia ada, pihak Ticket2U akan menghubungi mereka dalam tempoh tiga minggu untuk menguruskan penukaran tarikh, pilihan naik taraf atau bayaran balik. Maklumat lanjut akan dikemas kini di laman rasmi dan saluran media sosial.
Orang ramai boleh mengikuti sorotan terkini dan kandungan eksklusif melalui media sosial rasmi @konsertlegasipramlee di Facebook, Instagram dan TikTok.
