Setelah sekian lama menyepi dengan karya baharu, penyanyi bersuara emas, Syamel, kembali menyentuh jiwa peminat dengan sebuah balada penuh emosi berjudul “Berakhir Kita”. Lagu yang mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian ini merupakan hasil ciptaan duo berbakat besar Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak selaku penerbit.
Mengisahkan kepedihan sebuah hubungan yang terhenti sebelum sempat mekar sepenuhnya, Berakhir Kita menggambarkan betapa pedihnya melihat impian cinta musnah di depan mata. Lirik dan melodi lagu ini memberi ruang buat pendengar untuk merasai setiap titis kecewa yang pernah dialami dalam hubungan cinta yang tidak berpenghujung.
Menurut Syamel, kolaborasi bersama Omar K dan Shazriq bukan sahaja memberikan hasil yang menyentuh perasaan, malah turut menyuntik semangat baharu dalam proses kreatifnya.
“Saya bersyukur kerana diberi kebebasan untuk menyampaikan lagu ini mengikut gaya nyanyian saya. Omar dan Shazriq sentiasa mencipta suasana positif dan menjadikan proses rakaman lebih santai, namun tetap bermakna,” ujar Syamel.
Menariknya, lagu ini turut diperkukuh dengan elemen visual istimewa menerusi paparan video muzik yang digabungkan dengan sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Pendekatan ini dijangka memberikan kesan emosi yang lebih mendalam dan membantu audiens menghayati kisah yang disampaikan.
“Lirik dan melodi lagu ini sudah cukup menyayat hati. Bila digabungkan pula dengan babak-babak dalam drama, saya percaya mesej lagu ini akan lebih mudah meresap ke jiwa,” tambahnya.
Projek ini merupakan kerjasama antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd., dengan sokongan padu dari semua pihak produksi. Syamel menyifatkan projek ini sebagai satu perjalanan seni yang penuh keikhlasan.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat setiap individu memberikan kerjasama terbaik. Lagu ini lahir dari jiwa, dengan harapan agar ia benar-benar menyentuh hati pendengar,” katanya lagi.
Dengan peluncuran rasmi pada 6 Ogos 2025, Berakhir Kita kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama. Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga sebuah ruang untuk mereka yang pernah kecewa merawat luka yang mungkin belum sembuh.