Selepas sekian lama menyepi, penyanyi pop rock yang pernah mencetus fenomena bersama Projektor Band, Iskandar Zulkarnain kini kembali dengan single solo terbaharunya yang berjudul “Sewaktu Bahagia”. Lagu sarat emosi ini diterbitkan di bawah label tersohor Luncai Emas, menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan seninya.
Ditulis berdasarkan kisah benar yang dialami oleh penulis lirik dan komposer Aidil AF dan Jeremy Erskine, “Sewaktu Bahagia” menggambarkan kekecewaan mendalam dalam percintaan. Lirik seperti “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia” merungkai penderitaan hati yang ditinggalkan tanpa amaran. Gabungan lirik puitis dan melodi yang menyentuh jiwa menjadikan lagu ini sebuah karya yang menyentuh rasa.
Menariknya, kolaborasi ini bermula secara tidak dirancang apabila Aidil, yang bersahabat dengan Nabil, sepupu kepada Iskandar, mengetahui bahawa Iskandar sedang mencari peluang untuk kembali aktif dalam dunia muzik. Aidil segera memperkenalkannya kepada pihak Luncai Emas, dan dari situ tercetuslah kerjasama yang penuh makna ini.
“Saya amat bersyukur dapat bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Aidil AF dan Dato’ M. Nasir. Lagu ini adalah refleksi kepada kisah peribadi saya dan juga simbol kebangkitan semula dalam kerjaya seni,” ujar Iskandar yang dikenali dengan vokal emosional dan lagu-lagu cinta yang pernah menduduki carta teratas sebelum ini.
Harapan Iskandar cukup tinggi agar “Sewaktu Bahagia” bukan sekadar hits semasa, tetapi juga menjadi lagu evergreen yang kekal relevan sepanjang masa. Beliau turut berterima kasih kepada para peminat yang setia menyokong dan sabar menantikan kemunculan semulanya.

Penerbitan lagu ini digalas oleh Hidayat Nasir, penerbit muda yang juga pemain gitar kumpulan Pitahati, di bawah pemantauan Keon Omar, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd. “Cabaran utamanya ialah memastikan lagu ini membawa elemen yang seiring dengan keperibadian dan vokal maskulin Iskandar,” kata Hidayat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan tenaga kreatif yang terlibat, termasuk Zahar (Pitahati) sebagai pemain gitar, Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi, dan abang Ujang (Exist) selaku pemain drum.
Lebih istimewa, proses rakaman turut mendapat sentuhan dan bimbingan daripada legenda muzik negara, Dato’ M. Nasir, yang memberi panduan kepada Iskandar dalam penghayatan lagu ini sekaligus menambah nilai artistik terhadap hasil akhirnya.
Video lirik rasmi untuk “Sewaktu Bahagia” akan dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas pada 25 Julai 2025, serentak dengan pelancaran audionya di semua platform digital utama.
