EJEN ALI THE MOVIE 2 PERKUKUH LEGASI DUNIA CYBERAYA DENGAN REKAAN VISUAL LEBIH HEBAT & FASILITI MATA YANG BELUM PERNAH DILIHAT!

Ejen Ali kembali menggegarkan pawagam dengan sekuel yang menjanjikan pengalaman visual lebih imersif dan mendalam! Ejen Ali The Movie 2, karya terbaharu dari WAU Animation, membuka lembaran baharu dalam dunia animasi tempatan dengan gabungan CGI terkini, animasi 3D yang lebih halus serta penceritaan penuh aksi dalam dunia fiksyen sains Cyberaya yang kian berkembang.

Bukan sekadar kesinambungan dari filem pertama, Ejen Ali The Movie 2 memperkenalkan lapisan naratif baharu yang menyelami operasi rahsia Agensi MATA dari struktur organisasi yang lebih kompleks, teknologi dalaman yang sofistikated, sehinggalah kepada fasiliti futuristik yang belum pernah diperlihatkan sebelum ini.

Dimensi Baharu Dalam Dunia Perisik & Teknologi MATA

Jika filem pertama memberi fokus kepada realiti hidup masyarakat tersisih di Pinggiran, kali ini penonton dibawa jauh ke dalam sistem MATA termasuk makmal eksperimen, zon latihan canggih, dan juga rekaan terbaharu seperti Sut Satria. Sut ini diinspirasikan daripada busana tradisional pahlawan Melayu, lengkap dengan helmet berbentuk tengkolok dan butang baju Melayu sebagai logo satu simbol gabungan teknologi dan warisan.

Misi Baharu di Dasar Laut – Cabaran Animasi Bertaraf Tinggi

Antara babak paling mencabar dari sudut teknikal adalah misi bawah laut yang memerlukan integrasi efek air yang realistik dengan koreografi aksi kompleks. Adegan ini bermula di pantai dan membawa penonton menyelam ke dasar laut menampilkan sinematografi mengagumkan dan visual simulasi air yang menakjubkan.

Hab Teras Tekno – Nadi Teknologi Cyberaya

Filem ini turut memperkenalkan Teras Tekno, pusat pembangunan gajet dan teknologi MATA. Lokasi ini menjadi ruang eksperimen utama ejen Tekno dan tempat penambahbaikan senjata bagi semua ejen. Perincian ini membuka peluang besar dalam membina dunia Cyberaya yang lebih hidup dan kaya dengan imaginasi.

Rekaan Produksi Lebih Matang dan Bermakna

Menurut Safuan Shahril, Ketua Artis Aset dan Penyelia Teknikal WAU Animation, proses menghasilkan visual MATA memerlukan pencarian arah artistik yang menyeluruh. “Kami hanya benar-benar ‘lock’ konsep visual ibu pejabat MATA selepas pertengahan produksi. Bila semuanya klik, kami tahu inilah wajah sebenar MATA yang kami cari,” ujarnya.

Satu Evolusi, Satu Pengalaman Sinematik Untuk Semua

Dengan naratif yang lebih mendalam, rekaan dunia yang diperluas, serta penekanan kepada hubungan antara karakter, Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar hiburan, tetapi satu evolusi dalam sinema animasi Malaysia. Ia menyatukan aksi, emosi, dan teknologi dalam satu pengalaman pawagam yang tak harus dilepaskan.

Jangan Ketinggalan!

Saksikan Ejen Ali The Movie 2 di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei 2025. Sertai Misi Cyberaya dan alami sendiri transformasi dunia Ejen Ali!

🎬 Tonton trailer rasmi terbaru di sini:
https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ