Rasai Debaran Lebih Awal: Tayangan Khas Ejen Ali The Movie 2 di 9 Pawagam Terpilih

Para peminat Ejen Ali kini berpeluang menyaksikan sambungan penuh aksi dan teknologi dari dunia Cyberaya lebih awal menerusi tayangan khas yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025, jam 11:00 pagi di sembilan lokasi pawagam terpilih seluruh negara. Inisiatif ini membuka peluang eksklusif untuk menjadi antara yang pertama menikmati filem animasi tempatan paling dinanti tahun ini, empat hari sebelum tayangan rasmi bermula.

Kolaborasi antara WAU Animation, Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (GSC) ini merupakan bukti komitmen terhadap usaha menyemarakkan lagi sokongan terhadap industri animasi tanah air. Dengan harga RM40, peminat bukan sahaja menerima tiket tayangan awal tetapi turut membawa pulang lencana butang eksklusif Ejen Ali The Movie 2 dan satu set kombo popcorn bersaiz sederhana menjadikan pengalaman menonton lebih bermakna dan berbaloi.

Lokasi tayangan khas ini hanya tersedia di pawagam GSC terpilih termasuk GSC Mid Valley Megamall, KL East Mall, MyTOWN, Setia City Mall, IOI City Mall, AEON Bandaraya Melaka, Aman Central Alor Setar dan East Coast Mall Kuantan. Setiap lokasi menjanjikan pengalaman sinematik yang selesa untuk para ejens menikmati detik-detik mendebarkan bersama Ejen Ali.

Bagi mereka yang mahukan pengalaman lebih eksklusif dan premium, GSC Aurum Theatre di The Exchange TRX turut menawarkan dua sesi tayangan istimewa pada jam 11:00 pagi dan 1:30 petang. Tiket berharga RM40 bagi slot ini hadir bersama satu rantai kunci edisi khas, tiket tayangan serta snek dan minuman premium. Tambah menarik, peminat turut berpeluang berinteraksi bersama maskot rasmi Ejen Ali serta barisan pelakon suara yang akan memeriahkan suasana tayangan.

Untuk meraikan peminat sejati, HQ MATA turut mengalu-alukan penyertaan peminat cosplay untuk hadir lengkap dengan gear MATA masing-masing. Ini bukan sekadar tayangan filem – ia adalah misi penuh semangat, gaya dan kebanggaan buat seluruh ejens di Malaysia.

Jangan lepaskan peluang istimewa ini untuk jadi sebahagian daripada komuniti penggemar animasi tempatan yang bangkit bersama semangat Satria! Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, layari laman web rasmi GSC atau aplikasi mudah alih GSC hari ini.

Tonton Trailer Rasmi terbaru Ejen Ali The Movie 2 di pautan berikut:
https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ