ERA BAHARU DUNIA HIBURAN BERMULA DENGAN PELANCARAN RPM GROUP & JELAJAH ROCKOLOGY 2025

RPM Group satukan produksi, acara dan muzik di bawah satu bumbung, tampil dengan jelajah mega konsert rock nasional

Industri hiburan tanah air kini melangkah ke satu fasa baharu dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, yang menyatukan tiga cabang utama seni – penerbitan kandungan, pengurusan acara, dan pembangunan muzik – di bawah satu entiti profesional dan bersepadu. RPM Group terdiri daripada Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., RPM Events Sdn. Bhd., dan RPM Labels Sdn. Bhd., yang masing-masing akan memacu penghasilan drama dan filem, penganjuran konsert serta festival, dan pembangunan bakat serta rakaman muzik.

Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah RPM Group, penubuhan kumpulan ini bukan sekadar penyatuan korporat, tetapi satu gerakan transformasi industri hiburan Malaysia ke arah yang lebih tersusun dan mampan. “Kami mahu mempersembahkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mempunyai nilai untuk masyarakat dan negara. Ini adalah misi kami untuk memperkasa industri seni secara holistik,” ujarnya dalam ucapan perasmian.

Sebagai simbol kepada permulaan era baharu ini, RPM Events turut mengumumkan penganjuran Jelajah Rockology Concert Tour 2025, siri konsert berskala nasional yang mempertemukan dua ikon rock tanah air – Dato’ Awie dan Search (Kid Din) – dalam persembahan penuh tenaga, emosi dan nostalgia. Jelajah ini bakal menjadi medan kebangkitan semula jiwa rock Malaysia yang tulen dan bertenaga.

“Rockology bukan sekadar konsert, ia adalah satu gerakan. Kami mahu membawa semula semangat rock ke pentas utama, menyatukan generasi lama dan baharu dalam satu pengalaman muzik yang tak akan dilupakan,” kata Dato’ Awie. Menambah nilai kepada siri jelajah ini, sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada inisiatif tanggungjawab sosial RPM Group menerusi projek “Konsert Wings Dalam Penjara”, satu program komuniti untuk menyantuni golongan terpinggir.

Dato’ Eddy turut menjelaskan bahawa Rockology akan diperluas sebagai sebuah platform budaya dan sosial yang membuka ruang kepada penaja, rakan kolaborasi serta pencinta seni yang mahu turut serta dalam mengangkat martabat muzik tempatan ke tahap lebih tinggi.

Jelajah Rockology 2025 akan bermula dengan North Chapter di Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025, diikuti oleh South Chapter di EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025. Sekitar 15,000 peminat dari seluruh negara dan Singapura dijangka hadir bagi meraikan kebangkitan semula era kegemilangan rock tempatan.

Tiket bagi konsert pertama kini boleh didapati di https://rpm.ubertickets.asia dengan harga bermula serendah RM98, membuktikan konsert ini inklusif dan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Maklumat lanjut mengenai konsert di Johor akan diumumkan dalam masa terdekat.

Majlis pelancaran RPM Group dan Jelajah Rockology turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan, artis-artis utama yang terlibat, serta rakan strategik yang bakal memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif hiburan nasional ini.