Harga tiket paling mampu milik dalam sejarah Zepp KL – tanda penghargaan buat peminat setia
Selepas sedekad mewarnai industri muzik tempatan dengan karya-karya yang menyentuh jiwa dan menjadi siulan ramai, kumpulan Insomniacks akhirnya bakal merealisasikan impian terbesar mereka — konsert solo pertama bertajuk Insomniacks: Echoes Of A Dream yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia, konsert ini menjanjikan pengalaman luar biasa buat peminat setia yang telah menemani perjalanan muzik Insomniacks sejak mula bertapak pada tahun 2015.

Dianggotai oleh Syed Mir Iqbal (Iqie) selaku vokalis, Wan Arif Iskandar (bes) dan Danial Lee Hashim (gitar), Insomniacks bukanlah nama asing dalam arena muzik moden malah populariti mereka telah merentasi sempadan negara hingga ke Indonesia, Singapura dan Brunei.
Dikenali dengan lagu-lagu hits seperti Pulang, Reminisensi, Sempurna dan Igauan Malam, Insomniacks terus mengukuhkan nama mereka menerusi kolaborasi seperti Cerita Kita bersama Nabila Razali, serta lagu Belum Mulai bersama Nabila Taqiyyah dari Indonesia yang memenangi Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.
Menurut Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi simbol kejayaan dan perjalanan Insomniacks yang dibina atas sokongan para peminat yang setia.
“Konsert ini adalah lambang perjuangan dan impian yang direalisasikan. Lebih istimewa, harga tiket kami tawarkan pada kadar paling mampu milik yang pernah dicatatkan di Zepp KL sebagai penghargaan buat peminat yang menjadi tulang belakang Insomniacks selama ini,” katanya.
Harga tiket Insomniacks: Echoes Of A Dream bermula serendah RM138 untuk zon berdiri (Maniacks), diikuti RM168 (Sempurna, tempat duduk), RM228 (Reminisensi, tempat duduk), dan RM6,888 untuk VIP Box Pulang yang eksklusif.
Tiket mula dijual pada 5 Mei 2025 menerusi platform Ticketmelon. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi hello@sahentertainment.com.
Dari YouTube ke pentas Zepp KL, dari mimpi ke realiti konsert ini bakal mencipta sejarah buat Insomniacks dan peminatnya. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik magis ini.
