Kugiran retro moden yang cukup sinonim dengan muzik bergaya vintaj, MASDO, meraikan ulang tahun ke-10 mereka dalam industri muzik tanah air dengan penuh gaya, kejutan dan penuh emosi! Lebih 200 peminat setia dan rakan media berhimpun di acara istimewa bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” yang berlangsung meriah di Saloma, Kuala Lumpur pada 30 April 2025, tepat jam 9 malam.
Teka-Teki Instagram Jadi Kenyataan
Sebelum acara, peminat sudahpun mencium ‘bau-bau’ sesuatu apabila Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri memuat naik klu misteri di Instagram masing-masing. Ramai membuat spekulasi mengenai pengumuman besar, dan malam perjumpaan itu menjadi pentas untuk merungkai segala tanda tanya – sekaligus mencipta detik manis buat peminat setia mereka.
Persembahan Nostalgia, Lagu-Lagu Ikonik
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, MASDO tampil dengan mini showcase yang membuai emosi dan nostalgia. Lagu-lagu hit seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah” menggamatkan suasana dengan sorakan dan nyanyian serentak dari penonton, membuktikan bahawa lagu-lagu mereka masih segar di hati peminat.
Konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ Kini Rasmi!
Kemuncak malam tersebut hadir dengan pelancaran poster rasmi konsert ulang tahun ke-10 ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’. Dengan gaya dramatik, kain yang menutupi bangunan MATIC ditarik turun serentak dengan letupan bunga api, mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan hadirin. Konsert mega ini bakal berlangsung pada 30 Ogos 2025 di lokasi konsert terbaru negara, Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, dan MASDO menjadi artis pertama yang bakal beraksi di pentas tersebut.
Dengan kapasiti 7,000 orang dan suasana lebih intim, lokasi ini memberikan ruang sempurna buat MASDO untuk meraikan momen bersejarah bersama peminat tersayang. Pra-pendaftaran tiket telah dibuka dari 30 April hingga 1 Mei, dengan harga Rockzone Early Bird hanya RM128. Tiket Public Sale pula akan dibuka tidak lama lagi dengan harga Rockzone (Free Standing) – RM148 dan Cat 1 (Free Seating) – RM198.
Hitman Solutions Bawa Produksi Bertaraf Dunia
Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, nama besar dalam dunia penganjuran acara dengan lebih 15 tahun pengalaman membawa konsert berskala besar tempatan dan antarabangsa. Menurut CEO dan pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, “MASDO bukan sekadar band – mereka satu fenomena budaya pop moden yang berjaya mencorak muzik tanah air. Kami mahu ulang tahun ke-10 ini menjadi satu perayaan yang penuh kejutan dan kenangan indah, bukan hanya untuk peminat lama tetapi juga yang baru mengenali mereka.”
Sokongan Rakan Rasmi
‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ turut mendapat sokongan padu daripada Warner Music, pengurusan rasmi Kugiran Masdo Empire, lokasi rasmi Saloma Kuala Lumpur, serta ERA, Sinar, Gegar dan Astro Gempak sebagai rakan media dan radio rasmi.
Ikuti Perkembangan Konsert
Untuk info lanjut dan pembelian tiket, ikuti akaun rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions) di media sosial, atau hubungi talian +6012-265 5783 / emel: concerts@hitman.group. Jangan lepaskan peluang untuk jadi sebahagian daripada detik bersejarah MASDO!
