4U2C Tegas Hormati Hak Cipta: Isu Lagu Tidak Akan Dipandang Ringan

Kumpulan ikonik 4U2C tampil menegaskan komitmen mereka untuk menghormati dan mematuhi undang-undang muzik Malaysia berhubung isu hak cipta lagu menjelang konsert We 4U2C Live In Concert yang dijadual berlangsung pada 15 September 2025. Tegas mereka, karya seni bukan sekadar hiburan, sebaliknya amanah yang perlu dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab.

Isu ini timbul apabila penerbit Man Senoi dan isterinya, Mama Rap, menyatakan ketidakpuasan hati terhadap konsert berkenaan kerana mendakwa mereka mempunyai hak ke atas 25 buah lagu yang pernah dipopularkan kumpulan 4U2C. Namun, pihak 4U2C mengambil pendekatan berhemah dan enggan mengulas secara konfrontasi.

Menurut wakil kumpulan, Datuk AC Mizal, 4U2C tidak pernah mengambil mudah soal hak cipta, malah menekankan bahawa segala proses penyelesaian akan dilaksanakan secara profesional dan mengikut saluran undang-undang yang sah.

“Kami tidak pernah ambil remeh isu ini. 4U2C menghormati karya seni dan undang-undang muzik di Malaysia. Kami akan selesaikan isu ini dengan penuh profesionalisme dan melalui saluran yang betul,” kata AC Mizal.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak penganjur konsert, Juss Events, turut mengesahkan bahawa mereka telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bagi mendapatkan nasihat dan panduan yang tepat berkenaan isu yang dibangkitkan.

Wakil Juss Events, Shasha Marican, memaklumkan bahawa perbincangan dengan pihak MACP berjalan lancar dan mereka komited untuk mematuhi sepenuhnya semua garis panduan serta undang-undang hak cipta lagu yang telah ditetapkan oleh badan berautoriti tersebut.

“Kami sudah berbincang secara terus dengan MACP dan bersyukur segala pertemuan berlangsung dengan baik. Kami akan patuhi segala panduan yang telah diberikan supaya konsert ini berjalan dalam ruang undang-undang yang sah,” jelas Shasha.

Tambah beliau, sebagai penganjur yang bertanggungjawab, Juss Events tidak akan membiarkan isu ini berlarutan dan akan memastikan pencipta lagu asal turut diberikan penghormatan sewajarnya dalam sebarang persembahan yang melibatkan karya mereka.

“Kami mahu isu ini diselesaikan secara baik. Semua pihak perlu diberi keadilan dan pengiktirafan, termasuk pencipta lagu asal. Apa yang penting, konsert ini tetap berjalan, tetapi dengan penuh integriti,” katanya lagi.

Penganjur dan kumpulan 4U2C kini sedang dalam fasa akhir rundingan bersama pihak berkaitan untuk memastikan segala hak cipta lagu yang akan dipersembahkan dipatuhi mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Konsert We 4U2C Live In Concert dijangka menjadi momen ikonik buat peminat muzik 90-an dan nostalgia, namun pihak terlibat menekankan bahawa nilai profesionalisme dan etika industri tetap menjadi keutamaan utama mereka.