
vivo Malaysia kini memperkenalkan vivo Y31s, sebuah telefon pintar mampu milik yang memberi tumpuan kepada ketahanan bateri, perlindungan peranti dan prestasi harian yang lancar. Ditawarkan pada harga RM1,199, peranti ini hadir dengan bateri BlueVolt berkapasiti 6500mAh, ciri ketahanan yang dipertingkat serta reka bentuk moden yang menarik perhatian.
vivo Y31s tersedia dalam dua pilihan warna iaitu KL Midnight Purple dan Glowing Black. Walaupun dilengkapi bateri besar, telefon ini masih mengekalkan reka bentuk yang nipis dengan ketebalan 8.39mm dan berat 209 gram. Ia juga hadir dengan Dynamic Light Notification Ring yang memberikan pengalaman penggunaan lebih interaktif dan menarik.
Bateri Besar untuk Penggunaan Lebih Lama
Salah satu kelebihan utama vivo Y31s ialah bateri BlueVolt 6500mAh yang mampu menyokong penggunaan sepanjang hari tanpa perlu kerap mengecas. Menurut vivo, bateri ini masih boleh mengekalkan lebih 80% kapasiti asalnya selepas sehingga 1,600 kitaran pengecasan, bersamaan kira-kira lima tahun penggunaan biasa. Peranti ini turut menyokong pengecasan pantas 44W dan dilengkapi beberapa ciri pintar bagi membantu menjaga kesihatan bateri untuk jangka masa panjang.

Ketahanan bateri vivo Y31s memang terasa dalam penggunaan harian. Sepanjang sehari digunakan untuk berjalan-jalan, mengambil gambar, merakam video dan melayari media sosial, baterinya masih berbaki hingga ke penghujung hari. Ini menjadikannya sesuai untuk pengguna yang aktif dan kerap berada di luar tanpa perlu risau mencari pengecas.
Dilengkapi Ciri Tahan Air
vivo Y31s hadir dengan penarafan kalis air dan debu IP68 serta IP69+, selain menerima pensijilan SGS 5-Star Drop Resistance dan standard ketahanan MIL-STD-810H. Ia juga menyokong fungsi Wet-Hand Touch yang membolehkan skrin digunakan walaupun tangan dalam keadaan basah. Bagi peminat fotografi, telefon ini turut menawarkan mod fotografi bawah air untuk merakam gambar dalam situasi yang lebih mencabar.

Ciri kalis air yang ditawarkan pada vivo Y31s memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna. Selepas makan atau melakukan aktiviti luar yang menyebabkan tangan menjadi kotor, peranti ini boleh dibersihkan dengan lebih mudah. Selain itu, skrin masih kekal responsif walaupun terkena percikan air atau digunakan dengan tangan yang basah, sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa dan meyakinkan.
Penggunaan Lancar dan Kapasiti Storan Besar
Dikuasakan dengan cip Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2, vivo Y31s turut dipadankan dengan RAM 12GB termasuk fungsi Extended RAM serta storan dalaman 256GB. Teknologi storan UFS 3.1 membantu mempercepatkan pengguna mengakses aplikasi, melancarkan penggunaan pelbagai aplikasi secara serentak dan memastikan sistem lebih responsif.
Setelah diuji dengan beberapa permainan mudah alih popular seperti Mobile Legends, vivo Y31s menunjukkan prestasi yang lancar dan stabil. Peranti ini mampu memberikan pengalaman permainan yang responsif dengan pergerakan yang lebih lancar, manakala proses membuka aplikasi serta bertukar antara permainan dan aplikasi lain dapat dilakukan dengan pantas tanpa sebarang masalah yang ketara.
Direka Lasak untuk Pelbagai Situasi
Selain binaan yang tahan lasak, vivo Y31s turut dilengkapi Guardian Glass yang membantu meningkatkan ketahanan skrin. Ciri ini direka untuk mengurangkan risiko kerosakan akibat hentakan atau penggunaan harian yang lebih aktif.
Ketahanan vivo Y31s turut menjadikannya sesuai untuk pengguna yang sentiasa bergerak, termasuk penghantar makanan dan pemandu e-hailing. Dalam rutin harian yang sibuk, peranti berisiko terjatuh ketika dikeluarkan dari poket, digunakan pada pemegang telefon motosikal atau semasa menjalankan tugasan penghantaran. Dengan sokongan perlindungan Guardian Glass, vivo Y31s menawarkan tahap ketahanan tambahan pada skrin, sekali gus memberikan lebih keyakinan kepada pengguna untuk menggunakannya dalam pelbagai situasi harian yang mencabar.
Skrin Jelas dan Sokongan Kamera AI
Peranti ini menampilkan skrin FHD+ berukuran 6.72 inci dengan kadar segar semula 120Hz serta tahap kecerahan sehingga 1050 nits. Ini membolehkan paparan kekal jelas dan lancar walaupun digunakan di bawah cahaya matahari yang terang. Selain itu, pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light turut membantu mengurangkan keletihan mata ketika penggunaan berpanjangan.

Keupayaan paparan vivo Y31s turut menyerlah ketika digunakan di kawasan terbuka pada waktu siang. Walaupun berada di bawah cahaya matahari yang terang, kandungan pada skrin masih dapat dilihat dengan jelas dan mudah dibaca tanpa memerlukan tahap kecerahan yang terlalu tinggi. Ini memudahkan pengguna menjalankan pelbagai tugasan harian seperti menyemak mesej, melayari media sosial atau menggunakan aplikasi navigasi ketika berada di luar rumah.
Untuk fotografi, vivo Y31s dilengkapi kamera utama 50MP dan kamera swafoto 32MP. Ia turut hadir dengan pelbagai ciri AI seperti AI Erase, AI Photo Enhance, Dual-View Video, Live Photo dan Underwater Photography bagi membantu pengguna menghasilkan gambar serta video yang lebih menarik dengan mudah.


Ketika digunakan untuk merakam gambar pemandangan di kawasan taman, kamera vivo Y31s mampu menghasilkan imej yang jelas dengan pencahayaan yang baik serta warna yang kelihatan semula jadi. Perincian pada elemen seperti dedaunan, langit dan landskap sekitar turut dirakam dengan memuaskan, sekali gus menghasilkan foto yang menarik dan sesuai untuk dikongsi di platform media sosial.
vivo Y31s kini boleh didapati di seluruh Malaysia pada harga RM1,199 menerusi vivo Concept Store dan kedai rasmi dalam talian vivo. Dengan gabungan bateri besar, ciri ketahanan yang kukuh dan pelbagai fungsi pintar, peranti ini sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon pintar serba boleh pada harga yang berpatutan.