Tag: #YaRaya

  • Bella Astillah Sambut Semangat Aidilfitri Dengan Single Terbaru “Ya Raya” Bersama Fipper

    Bella Astillah Sambut Semangat Aidilfitri Dengan Single Terbaru “Ya Raya” Bersama Fipper

    Penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah, kembali menyemarakkan suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Ya Raya”. Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy, serta diterbitkan oleh Exactesy, menampilkan gabungan elemen muzik moden dan tradisional yang segar namun tetap mengekalkan jiwa muzik Raya yang dekat di hati pendengar. Dengan elemen keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan, “Ya Raya” hadir sebagai soundtrack untuk meraikan momen-momen indah bersama keluarga dan insan tersayang.

    Menurut Bella Astillah, lagu ini berjaya menimbulkan hubungan emosi sebaik sahaja beliau mendengar demo pertama. “Bila pertama kali dengar demo Ya Raya, saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana Raya yang saya sendiri rasa. Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengar. Memang kena dengan mood Raya,” jelasnya. Walaupun lagu kedengaran ceria, proses rakaman tidak mudah kerana Bella demam pada ketika itu, namun beliau berjaya mengekalkan tenaga dan keceriaan vokal tanpa kelihatan dibuat-buat.

    Keistimewaan “Ya Raya” terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik dan sentuhan kontemporari yang segar, menjadikannya sesuai untuk pendengar generasi muda mahupun yang dewasa. Kolaborasi bersama Fipper turut menambah dimensi gaya hidup pada lagu ini, menekankan keselesaan, santai dan semangat Raya. Menurut wakil Fipper, pemilihan Bella sebagai wajah kolaborasi selari dengan identiti jenama yang positif, autentik dan dekat dengan masyarakat Malaysia pelbagai lapisan umur.

    Pihak Universal Music Malaysia pula menekankan bahawa pemilihan lagu ini dibuat secara teliti dengan menilai kekuatan melodi, lirik dan potensi komersial untuk memastikan lagu benar-benar menjiwai semangat Aidilfitri. Bella Astillah berharap “Ya Raya” menjadi lagu yang menemani detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma, bukan sahaja tahun ini tetapi untuk tahun-tahun mendatang. Lagu ini boleh distrim di semua platform digital mulai 13 Februari 2026.