Tag: #XPDCMetalkestra

  • Konsert XPDC Metalkestra: Ledakan Rock 8 November di Zepp KL!

    Konsert XPDC Metalkestra: Ledakan Rock 8 November di Zepp KL!

    Legenda rock tanah air, XPDC, kembali menggegarkan industri muzik tempatan dengan penganjuran konsert berskala besar yang cukup dinanti-nantikan – XPDC METALKESTRA – yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025. Selepas lebih empat dekad membina nama sebagai kugiran heavy metal paling berpengaruh sejak era 80-an, XPDC tampil sekali lagi membuktikan bahawa semangat dan jiwa rock sejati mereka tidak pernah luntur.

    Dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records, konsert XPDC Metalkestra bukan sekadar persembahan biasa. Ia adalah simbol kebangkitan dan penghormatan terhadap warisan muzik yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam landskap rock tanah air. Istimewanya kali ini, XPDC mempersembahkan sesuatu yang segar – gabungan mantap antara elemen metal dengan susunan orkestra yang megah dan sinematik, menjadikan Metalkestra sebagai pengalaman muzik yang tidak pernah disaksikan dalam mana-mana konsert XPDC sebelum ini.

    XPDC, yang terdiri daripada Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu, akan kembali ke pentas dengan semangat juang yang sama seperti ketika mereka meledak dengan Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam pada tahun 1998. Konsert Metalkestra bukan sahaja akan menyatukan kembali peminat setia dari generasi awal, tetapi juga dijangka menarik minat generasi baharu yang mengenali XPDC melalui platform digital dan media sosial.

    Menurut Encik Musa dari Republic Mokhmah Records, Metalkestra menjadi bukti nyata bahawa muzik rock, walau sering dilabel “rock kapak”, tidak pernah mati ditelan zaman. Katanya, XPDC masih relevan dan lagu-lagu mereka tetap hidup dalam jiwa peminat, lama dan baharu. Beliau turut menyatakan keterujaan pihak penganjur yang seiring dengan semangat peminat untuk menyaksikan XPDC kembali mendominasi pentas dengan lagu-lagu dari album pertama hingga terkini.

    Bagi XPDC sendiri, Metalkestra adalah satu bentuk apresiasi kepada para peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan, walau dalam apa jua fasa perjalanan mereka. Gabungan orkestra ini bukan sahaja menambah kemewahan kepada lagu-lagu XPDC, malah memberi dimensi baharu kepada persembahan mereka. Izo menyifatkan konsert ini sebagai tanda bahawa XPDC tidak akan berhenti dan akan terus menghasilkan karya bermakna untuk generasi mendatang.

    Dengan repertoar lagu yang ikonik seperti Apa Nak Di Kata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam – kebanyakannya hasil sentuhan magis Allahyarham J S Kevin – XPDC Metalkestra menjanjikan malam yang penuh nostalgia, emosi dan energi buat semua yang hadir. Ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan muzik yang direncanakan dengan penuh jiwa dan hormat terhadap seni.

    Jualan tiket telah dibuka sejak 30 Julai jam 5 petang menerusi www.ilassotickets.com/konsertxpdcmetalkestra. Terdapat pelbagai kategori tiket bermula daripada RM138 hingga RM5,008, termasuk Royal Box untuk 10 orang beserta sesi meet & greet dan goodie bag eksklusif. Lebih menarik, dua peminat yang hadir dengan kostum samurai terbaik akan membawa pulang hadiah istimewa, manakala cabutan bertuah akan menghadiahkan gitar Jackson Izo Signature kepada pemenang bertuah – bukan satu, bukan dua, tetapi lebih dari itu.

    Jangan tunggu lama. Jika anda lambat, anda mungkin ‘tewas’ dalam medan perang ini, kerana gelanggang XPDC Metalkestra hanyalah untuk mereka yang benar-benar bersedia menyambut letupan rock dengan jiwa seorang samurai.

    Jumpa di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025. Jumpa di sana, wahai sang samurai.