Tag: #UsahawanMalaysia #JenamaTempatan

  • Jee Von Terima TOYM 2026, Angkat Nama Fipper ke Persada Antarabangsa

    Gambar penerimaan anugerah TOYM oleh Jee Von

    Ketua Pegawai Eksekutif Fipper Group, Choong Jee Von, mencipta satu lagi pencapaian dalam bidang keusahawanan apabila dinamakan sebagai penerima Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2026.

    Beliau menerima anugerah dalam kategori Pencapaian Perniagaan, Ekonomi dan/atau Keusahawanan, hasil pencapaiannya dalam mengembangkan Fipper daripada jenama selipar getah tempatan kepada perniagaan yang mempunyai rangkaian pasaran antarabangsa.

    Di bawah kepimpinan Jee Von, Fipper kini mempunyai rangkaian peruncitan di 19 negara dan wilayah, merangkumi lebih daripada 150 outlet.

    Pendekatan beliau turut dipengaruhi latar belakang akademik dalam Sains Aktuari dan kelayakan MBA, yang diterapkan melalui penggunaan data dalam aspek pemasaran serta pengurusan perniagaan runcit.

    Tahun 2026 turut menyaksikan beberapa pengiktirafan lain buat usahawan kelahiran Melaka itu. Pada April lalu, beliau menerima Anugerah Khas Usahawan 2026 dan Usahawan Belia (Johan) 2026 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

    Gambar Penerimaan Anugerah Usahawan Negeri Melaka 2026

    Selain mengembangkan perniagaan, Jee Von turut memberi penekanan terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial. Fipper menggunakan getah semula jadi dalam penghasilan produknya sebagai alternatif kepada plastik sintetik.

    Sementara itu, projek ‘Fipper Sayang’ menjadi antara usaha tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam memberikan sokongan kepada komuniti yang memerlukan.

    Jee Von berkata perkembangan sesebuah perniagaan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan pencapaian kewangan, sebaliknya turut mengambil kira sumbangan kepada masyarakat dan alam sekitar.

    TOYM 2026 yang membawa tema One Nation, One Vision dianjurkan oleh JCI South Key di bawah JCI Malaysia. Seramai 10 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 40 tahun menerima pengiktirafan dalam 10 kategori berdasarkan pencapaian dan sumbangan masing-masing.