Impian untuk bergelar pelakon terus menjadi cita-cita ramai apabila Uji Bakat Pencarian Pelakon Tonton Vertical menerima sambutan yang sangat menggalakkan dengan hampir 300 penyertaan, iaitu dua kali ganda lebih ramai berbanding tahun lalu. Peningkatan ini bukan sahaja membuktikan minat terhadap dunia lakonan semakin berkembang, malah menunjukkan lebih ramai individu sanggup merebut peluang untuk membina nama dalam industri kreatif tempatan.

Uji bakat yang berlangsung di Heritage Club, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu itu dianjurkan bagi mencari bakat baharu untuk membintangi produksi Tonton Vertical serta drama TV3 pada masa akan datang. Selain memilih pelakon utama, sesi ini turut membuka peluang kepada peserta berpotensi untuk menggalas pelbagai watak lain termasuk watak sampingan, sekali gus memberi lebih banyak ruang kepada bakat baharu untuk melangkah ke industri seni.
Sambutan kali ini menarik penyertaan peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun dari dalam dan luar Lembah Klang, termasuk mereka yang sanggup datang dari Johor dan Pulau Pinang. Turut mencuri perhatian ialah penyertaan dua peserta orang kurang upaya (OKU) yang tampil penuh semangat untuk menguji bakat, membuktikan bahawa minat dan impian dalam dunia lakonan tidak mengenal batas.
Sepanjang sesi uji bakat, setiap peserta menjalani ujian lakonan secara berpasangan menggunakan skrip yang disediakan oleh pihak produksi. Persembahan mereka kemudian dinilai oleh barisan panel yang terdiri daripada Shuhaimi Lua selaku Pengarah dan Penerbit Tanah Beris Film Production, Haji Fadzil Teh daripada Zeel Production, Jalena Rejab daripada Country & Universal, Azlin Rahim daripada Wiranusa Corporation serta Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima.
Dalam proses penilaian itu, panel memberi tumpuan kepada kebolehan peserta membawa pelbagai jenis watak selain personaliti dan keyakinan mereka di hadapan kamera. Kriteria ini penting bagi mengenal pasti individu yang mampu memenuhi keperluan pelbagai produksi. Hasil daripada sesi tersebut, kira-kira 20 peratus peserta telah disenarai pendek dan akan dihubungi untuk peringkat pemilihan seterusnya.

Menurut Marlia Zul Amran, apa yang paling membanggakan bukan sekadar jumlah penyertaan yang diterima, tetapi kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap peserta sepanjang uji bakat berlangsung. Katanya, ramai yang hadir dengan persediaan rapi, keyakinan tinggi dan keberanian untuk mencabar diri. Sambutan luar biasa tahun ini juga memberi keyakinan bahawa masih banyak bakat baharu yang boleh diketengahkan menerusi platform seperti Tonton Vertical.
Melihat kepada sambutan yang diterima, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak peluang uji bakat akan dibuka pada masa hadapan. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan Tonton Vertical yang menampilkan siri mikrodrama dalam format video vertikal dengan jalan cerita yang lebih ringkas, pantas dan mudah diikuti. Selepas pelancaran siri Tonton Vertical pertama, BRU: Masin & Manis, yang akan mula ditayangkan pada 22 Julai ini, penonton juga boleh menantikan lebih banyak siri tempatan serta pelbagai mikrodrama Korea dengan judul baharu yang dikemas kini setiap hari Isnin.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram menerusi akaun @tontonmy.
