Program kanak-kanak popular Astro, The Chosen One XTRA melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila kumpulan Naqiu, Iaman dan Saputra diumumkan sebagai juara di konsert akhir yang berlangsung pada Jumaat lalu. Persembahan mantap mereka yang menampilkan kepelbagaian bakat serta keunikan tersendiri berjaya memikat hati barisan juri dan penonton sehingga meraih markah tertinggi. Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM40,000 beserta trofi daripada Astro.
Sebagai satu-satunya peserta yang tampil dengan sebuah kumpulan lelaki iaitu Saputra, persembahan mereka mendapat tepukan dan sorakan luar biasa daripada penonton. Mereka memukau dengan persembahan lagu Ayuh nyanyian Malique, Kmy Kmo, Aman Ra dan Ernie Zakri serta lagu Evo oleh Joe Flizzow dan Sona One bersama Coach Naqiu. Untuk persembahan solo, mereka memilih lagu Joget Angan Tak Sudah yang dipopularkan oleh Jay Jay dan Ya La Dan nyanyian asal Sharifah Aini.
Naib juara disandang oleh kumpulan Achey bersama Rayyan dan Dahlya, manakala tempat ketiga menjadi milik Usop, Alif dan Yusuf. Tempat keempat pula dimenangi oleh Nikki Palikat yang bergandingan dengan Iman dan Adawiya. Semua pemenang menerima hadiah wang tunai serta trofi sebagai pengiktirafan bakat dan usaha mereka sepanjang musim ini.

Malam tersebut turut menyaksikan kejayaan berganda buat Naqiu apabila beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Coach Terbaik selepas membimbing kumpulan juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. Sementara itu, Iaman dan Saputra juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih Anugerah Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM10,000 hasil undian juri dan penonton.
Konsert akhir ini memperlihatkan empat kumpulan finalis berentap dengan dua persembahan masing-masing iaitu kolaborasi bersama Coach serta persembahan solo. Suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran dua tokoh muzik ternama, Dato Ramli MS dan Dato M. Nasir sebagai juri jemputan, selain barisan juri tetap Dato’ Awie dan Sharifah Shahirah yang memberikan kritikan serta pandangan membina.
Musim kali ini tampil dengan pembaharuan apabila memperkenalkan konsep bakat versatil, sekali gus membuka ruang yang lebih luas dalam pencarian bakat kanak-kanak di Malaysia. Penonton yang terlepas siaran langsung boleh menonton semula episod-episod The Chosen One XTRA melalui On Demand di Astro GO dan sooka, sekaligus mengimbau kembali detik penuh emosi, semangat dan kejayaan di pentas akhir yang pastinya akan dikenang.



