Tag: #TheAscottStarFestival2025

  • Naqiu Tegur Penyanyi Baharu: Jangan Sekadar Tiru, Tampil Unik

    Naqiu Tegur Penyanyi Baharu: Jangan Sekadar Tiru, Tampil Unik

    Penyanyi dan vokalis kumpulan Boboi, Naqiu menegaskan bahawa bakat baharu dalam industri hiburan perlu tampil dengan keunikan tersendiri dan bukan sekadar meniru idola sedia ada. Menurutnya, faktor X masih menjadi elemen terpenting dalam menonjolkan identiti seorang penyanyi.

    Naqiu, atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 39, berkata dia sering mencari kelainan apabila diundang menjadi juri dalam pertandingan nyanyian.

    “Saya perhatikan ramai artis baharu kini hadir dengan corak yang sama. Ada kecenderungan untuk meniru penyanyi popular seperti Ella, Datuk Awie atau Azlan Typewriter. Sedangkan kita perlukan kelainan bakat yang tidak pernah kita dengar sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran The Ascott Star Rewards Festival 2025, di sebuah pusat beli-belah di ibu negara hari ini.

    Naqiu turut menyuarakan kebimbangannya terhadap lambakan peserta yang tiada keaslian dan hanya cuba meniru gaya nyanyian orang lain.

    “Saya tidak mahu ada dua atau tiga orang penyanyi yang kedengarannya seperti artis yang kita sudah ada. Industri perlukan sesuatu yang baharu. Keunikan itu adalah kekuatan sebenar,” katanya lagi.

    Selain itu, beliau turut menasihatkan peserta pertandingan supaya membuang mentaliti bahawa menyanyi lagu bernada tinggi adalah satu-satunya cara untuk menunjukkan kemampuan vokal.

    “Lagu rendah pun boleh beri impak besar jika disampaikan dengan emosi dan keaslian. Tak semestinya kena menjerit atau tarik tinggi-tinggi. Saya sendiri pun dah lama dengar suara saya, tak perlu orang lain nyanyi macam saya,” selorohnya.

    Naqiu bakal menggalas tanggungjawab sebagai juri bagi pertandingan karaoke di festival tersebut.

    Pertandingan yang berlangsung dari hari ini hingga Ahad, jam 10 pagi hingga 9.30 malam itu telah menarik penyertaan lebih 250 peserta. Pemenang bertuah bakal meraih peluang eksklusif menjadi artis rakaman di bawah label terkenal Sony Music Malaysia.