Tag: #TalkToMyManager

  • TTMM Panas! Netizen Puji Segmen Post Mortem Dato Alif & Ammayan

    TTMM Panas! Netizen Puji Segmen Post Mortem Dato Alif & Ammayan

    Program terbaharu Astro, Talk To My Manager (TTMM) terus mencuri perhatian penonton sejak tirai siarannya dibuka pada 24 Ogos lalu di Astro Ria saluran 104 tepat jam 9 malam. Berkonsepkan legasi hiburan keluarga, TTMM tampil dengan kelainan apabila mengetengahkan pertembungan pasangan anak-beranak yang masing-masing sudah pun mempunyai empayar serta jenama tersendiri dalam industri seni tanah air.

    Keunikan TTMM terletak pada konsepnya yang bukan sekadar hiburan tipikal semata-mata, sebaliknya memberi ilmu dan pendedahan berguna. Program ini memperlihatkan bagaimana bakat terpendam anak-anak dipupuk menjadi produk seni sementara ibu atau bapa bertindak sebagai pengurus yang mengendalikan perjalanan karier mereka.

    Antara peserta yang menyertai program ini termasuk pasangan ibu dan anak iaitu Siti Saerah bersama Amad, Sharifah Shahirah bersama Audrra, Sharifah Zarina bersama Athalia, Liza Hanim bersama Marsya dan Ina Naim bersama Hadie. Tidak ketinggalan pasangan bapa dan anak iaitu Ameng bersama Ammar, Shuib bersama Thalita, serta Aziz M. Osman bersama Ara Aziz. Barisan peserta yang pelbagai ini menambah warna pada perjalanan musim pertama TTMM.

    Menariknya, bukan sahaja barisan peserta yang menjadi bualan tetapi juga kehadiran pasangan usahawan sensasi Dato Alif Syukri dan anak lelakinya Ammar Ahyan atau lebih dikenali sebagai Ammayan. Walaupun tidak bertanding sebagai peserta, duo ini diberi kepercayaan untuk mengendalikan segmen Post Mortem yang bersiaran setiap minggu selepas TTMM iaitu pada jam 11 malam.

    Gelagat dua beranak ini nyata mencuri tumpuan kerana perbezaan karakter mereka yang bagai langit dengan bumi. Alif dengan gaya selamba dan kecohnya dilihat beberapa kali tersasul ketika mengacara, manakala Ammayan pula tampil lebih tenang dan serius membaca skrip sewaktu berbual dengan para peserta. Aksi kontras itu menjadikan Post Mortem TTMM lebih hidup dan menghiburkan.

    Di media sosial, warganet berkongsi keterujaan mereka apabila pasangan ini berganding buat pertama kali mengacarakan program televisyen selepas sebelum ini mencetus fenomena melalui sesi siaran langsung jualan produk di TikTok. Ada yang mengaku ‘pecah perut’ dengan lawak spontan Alif dan cara Ammayan menegur juri serta peserta dengan penuh formal. Antaranya termasuk momen ketika Ammayan secara tiba-tiba memberi salam kepada Datuk Syafinaz saat beliau sedang mengulas persembahan, selain insiden apabila Ammayan tetap memanggil penyanyi Liza Hanim dengan gelaran puan kerana mengikut skrip rasmi meskipun diminta memanggil aunty.

    Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, menyifatkan pemilihan Alif Syukri dan Ammayan sebagai hos Post Mortem TTMM sebagai langkah yang tepat dan selari dengan konsep program. Menurut beliau, aura serta sikap bersahaja pasangan itu ketika melakukan siaran langsung menjadikan mereka sesuai mengendalikan segmen tersebut. Tambahnya lagi, meskipun gaya keduanya berbeza dengan Alif yang kecoh dan Ammayan yang kekok, nilai kekeluargaan mereka yang akrab memberi daya tarikan tersendiri buat penonton.

    TTMM menggunakan format penjurian berdasarkan 100 peratus pemarkahan daripada juri tetap pada minggu pertama. Bagi minggu kedua dan seterusnya, undian penonton turut memainkan peranan dan sudah pun dibuka di laman Astro Gempak. Program ini berlangsung selama tujuh minggu dengan Datuk Aznil Hj. Nawawi atau Pak Nil bertindak sebagai pengacara utama, manakala barisan juri tetap terdiri daripada Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.

    Konsert mingguan Talk To My Manager bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Penonton juga boleh menonton semula program ini menerusi aplikasi Astro GO serta sooka. Dengan format segar, barisan peserta menarik serta tambahan segmen Post Mortem yang penuh hiburan, TTMM diyakini bakal menjadi antara program hiburan keluarga paling hangat tahun ini.

  • Di Sebalik Populariti: Kisah Pengurus & Artis

    Di Sebalik Populariti: Kisah Pengurus & Artis

    Astro bakal mempersembahkan sebuah program realiti hiburan terbaharu yang segar dan unik berjudul Talk To My Manager. Menampilkan format pertandingan yang sarat dengan emosi dan mendebarkan, program ini menguji bakat, populariti, kepercayaan serta legasi sesebuah keluarga dalam pentas hiburan. Buat pertama kalinya, Talk To My Manager menggabungkan pasangan pengurus dan artis yang terdiri daripada ibu bapa selebriti bersama anak mereka sendiri. Anak-anak akan menjadi tumpuan utama sebagai penghibur, manakala ibu bapa selebriti akan berperanan sebagai pengurus yang mengemudi arah kreatif persembahan. Program ini bakal mula bersiaran pada 24 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan turut boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

    Fenomena generasi kedua dalam industri hiburan semakin ketara dengan kemunculan bakat baharu yang membawa perspektif segar sambil meneruskan legasi keluarga mereka yang terkenal. Fenomena ini merentasi pelbagai bidang seperti nyanyian, lakonan, komedi, tarian dan cabang seni kreatif lain, sekaligus menjadi inspirasi kepada penonton yang menghargai konsep warisan dalam seni persembahan. Menyedari potensi ini, Astro mengambil langkah memperkenalkan format yang bukan sahaja menonjolkan bakat baharu, tetapi turut meraikan bimbingan, pengorbanan dan impian bersama yang menjadi pemangkin kejayaan merentas generasi.

    Dalam setiap episod, pasangan selebriti dan anak mereka akan berhadapan pelbagai cabaran kreatif yang menguji kemahiran, daya tahan dan kerjasama unik yang hanya wujud dalam hubungan kekeluargaan. Musim ini akan menyaksikan penyertaan pasangan hebat seperti Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie, serta Liza Hanim & Marsya. Mereka akan mengasah bakat, mengatur strategi dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk memenangi gelaran pasangan pengurus dan artis terunggul Malaysia.

    Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Astro percaya pada kuasa legasi dalam membentuk landskap industri hiburan. Beliau menekankan bahawa program ini memberi peluang penonton untuk mengikuti perjalanan unik para peserta dengan lebih dekat, menyaksikan bagaimana ibu bapa yang berpengalaman membimbing anak mereka menghasilkan persembahan hebat setiap minggu. Penonton bakal disajikan dengan detik penuh emosi, cabaran kreatif dan persembahan memukau sehingga malam penobatan yang bakal menginspirasi generasi akan datang.

    Program ini akan dikendalikan oleh pengacara legenda, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama barisan juri ternama seperti Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal. Sistem penjurian Talk To My Manager adalah 100% berdasarkan pemarkahan juri profesional, dengan pecahan 60% untuk kecekapan, kreativiti dan strategi pengurus, manakala 40% lagi dinilai berdasarkan keunikan persembahan serta kualiti vokal artis. Penonton juga berpeluang mempengaruhi perjalanan peserta melalui undian dalam talian yang menawarkan ganjaran mingguan seperti peluang kedua untuk membuat persembahan, penambahan markah atau memilih juri yang akan memberi komen.

    Selain konsert utama setiap Ahad, Talk To My Manager turut menawarkan pelbagai kandungan tambahan. Studio Talk To My Manager yang bersiaran setiap Sabtu jam 10 malam akan menampilkan persiapan intensif para peserta bersama pengurus masing-masing. Manakala BTS Talk To My Manager yang bersiaran setiap Rabu jam 8.30 malam akan membawa penonton ke belakang tabir latihan vokal, kelas tarian serta strategi persembahan. Bagi pengalaman lebih interaktif, penonton boleh mengikuti Talk To My Manager Live+ di www.gempak.com yang disiarkan serentak ketika konsert mingguan berlangsung.

    Musim ini turut menampilkan kolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi. Dengan gabungan emosi, kreativiti dan hubungan kekeluargaan yang unik, Talk To My Manager dijangka menjadi antara program realiti paling hangat pada tahun ini, meraikan legasi hiburan keluarga sambil membuka ruang untuk generasi baharu mengukir nama di pentas seni.