Hari ini menandakan ulang tahun ke-24 penubuhan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sejak ditubuhkan pada 16 April 2002, SSM kekal komited melaksanakan mandatnya sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara, berpaksikan visi untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat terulung.
Sepanjang 24 tahun penubuhannya, SSM telah membina legasi kejayaan berasaskan komitmen dan profesionalisme seluruh warganya dalam memperkukuh tadbir urus korporat negara yang sentiasa berkembang seiring dengan tuntutan semasa. Bersempena ulang tahun ke-24 ini dan mengambil inspirasi daripada angka 4, SSM memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026.
Inisiatif pertama ialah Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan pematuhan di bawah Akta Syarikat 2016. Inisiatif ini memberi ruang kepada syarikat untuk melaksanakan pemulihan bagi dokumen statutori yang tertunggak, dengan manfaat termasuk pengecualian tawaran kompaun bagi kesalahan yang belum dikompaun serta pengurangan kompaun sehingga 98% mengikut seksyen kesalahan berkaitan.
Inisiatif kedua ialah penerusan Skim 1 OKU 1 Perniagaan bagi menyokong kelangsungan usahawan orang kurang upaya melalui pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma setiap tahun. Inisiatif ketiga pula melibatkan lanjutan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun, khusus untuk usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA, IPTS, politeknik, kolej, institut kemahiran dan pusat kemahiran.
Inisiatif keempat ialah pengenalan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) yang akan bermula pada 1 Jun 2026, bertujuan memberi peluang kepada warga emas untuk menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan sekali gus membolehkan mereka terus aktif menyumbang kepada ekonomi negara.
Kesemua inisiatif ini diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan korporat, memudahkan urusan perniagaan serta memperkukuh kecekapan dan ketelusan ekosistem perniagaan negara secara menyeluruh.
Di kesempatan ini, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh warga SSM atas dedikasi dan khidmat bakti yang berterusan. Semoga SSM terus unggul sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat yang berwibawa dan progresif, selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI.
Selamat Ulang Tahun ke-24 SSM.