Tag: #SkopProductions

  • 5 Bomoh Bawa Gelagat Komedi Penuh Kekecohan di Pawagam 4 Jun 2026

    5 Bomoh Bawa Gelagat Komedi Penuh Kekecohan di Pawagam 4 Jun 2026

    Demi mengejar impian atau mencari jalan keluar dengan cepat, ada yang sanggup meletakkan harapan kepada perkara yang dipercayai mampu mengubah nasib. Namun, sejauh mana kepercayaan itu benar-benar membantu, atau sekadar membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas harapan manusia?

    Berasaskan realiti inilah, 5 Bomoh, filem terbaharu arahan Syed Fariz, hadir sebagai sebuah naskhah komedi yang menghiburkan sambil menyelitkan mesej sosial yang dekat dengan kehidupan seharian. Bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026, filem ini mengajak penonton melihat fenomena ini daripada sudut yang ringan, santai dan penuh pengajaran.

    Diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, diedarkan oleh Skop Production Sdn Bhd serta dipasarkan oleh Primeworks Studios dengan kerjasama Mask Team, 5 Bomoh menampilkan barisan pelakon popular seperti Dato’ Aaron Aziz, Scha Alyahya, Khairy Jamaluddin, Ungku Hariz, Tiara Rose, Dato’ Afdlin Shauki, Johan, Amy Search, Aedy Ashraf dan Ozlynn Waty. Gabungan pelakon daripada pelbagai latar belakang ini menjadikan filem ini lebih segar dengan pelbagai watak dan situasi komedi yang menghiburkan.

    5 Bomoh mengisahkan Rashdan (Dato’ Aaron Aziz), seorang ahli perniagaan yang sejak kecil percaya kepada amalan tahyul dan petua turun-temurun. Berbeza dengan isterinya, Sakinah (Scha Alyahya), yang lebih berpegang kepada agama serta yakin kepada sains, pendidikan dan doa dalam menghadapi setiap ujian hidup.

    Segalanya berubah apabila anak perempuan mereka, Nisa (Tiara Rose), gagal mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Terlalu berharap anaknya menjadi individu pertama dalam keluarga yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, Rashdan mula panik dan mencari pelbagai cara untuk merealisasikan impian itu.

    Atas cadangan pembantunya, Alam (Ungku Hariz), Rashdan nekad membawa keluarganya merantau ke beberapa negeri untuk mencari bantuan daripada individu yang dikatakan mempunyai “kuasa luar biasa”. Namun, perjalanan itu tidak membawa mereka kepada jawapan yang diharapkan. Sebaliknya, mereka berdepan satu demi satu penipuan yang membongkar sisi tamak dan manipulasi kepercayaan demi kepentingan peribadi.

    Menurut Syed Fariz, 5 Bomoh bukan sekadar filem komedi, tetapi juga sebuah sindiran sosial yang mengajak penonton melihat realiti masyarakat dengan cara yang lebih santai. “Melalui komedi, kami cuba sampaikan bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya. Kadang-kadang kita terlalu mudah percaya pada janji hasil segera, sedangkan usaha, ilmu dan doa adalah asas sebenar dalam mencapai impian. Walaupun disampaikan secara ringan, mesej ini sangat dekat dengan kehidupan kita,” katanya.

    Dalam masa yang sama, 5 Bomoh turut menyentuh soal hubungan kekeluargaan, tekanan ibu bapa terhadap anak-anak, serta kecenderungan sesetengah pihak mencari jalan mudah apabila berdepan cabaran hidup. Dengan gabungan komedi segar, pemerhatian terhadap realiti masyarakat dan mesej yang relevan, filem ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan untuk seisi keluarga.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan 5 Bomoh di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026. Saksikan sendiri pengembaraan penuh kekecohan ini yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membuka mata tentang nilai sebenar usaha, ilmu dan kepercayaan.

    Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif 5 Bomoh, ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios.

  • Ghaz Abu Bakar Uji Keberanian Penonton Menerusi Filem Seram “QIFARAH”

    Ghaz Abu Bakar Uji Keberanian Penonton Menerusi Filem Seram “QIFARAH”

    Dalam setiap bisikan gelap, tersimpan kebenaran yang menanti untuk terbongkar. Itulah yang dibawa oleh Qifarah, taruhan pertama arahan Ghaz Abu Bakar dalam genre seram yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Mengangkat tema penebusan dan pengampunan, filem ini menjanjikan penceritaan penuh misteri, suspens dan bayangan ghaib yang akan terus mengikat jiwa penonton hingga ke detik terakhir.

    Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira dan Rafique Iskandar.

    Filem ini mengisahkan tentang entiti silam, dendam lama dan rahsia yang masih hidup. Qifarah membawa penonton menyelami kisah Yusoff, lakonan Remy Ishak, seorang perantau yang telah lama menetap di Kaherah bersama isterinya Marissa, lakonan Rita Nadira, dan anak mereka Mikhail, lakonan Rafique Iskandar. Namun, apabila menerima perkhabaran tentang bapanya yang sedang nazak, Yusoff pulang ke tanah air selepas tiga dekad dengan niat membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam sambil merungkai kejadian mistik yang terus membelenggunya.

    Kepulangannya membuka semula kisah silam yang gelap apabila Yusoff berdepan dengan ibu tirinya, Mawar, lakonan Sharifah Sakinah, yang seolah-olah tidak dimamah usia, serta adiknya Eykha, lakonan Liyana Jasmay, yang jiwanya kekal seperti anak kecil. Situasi menjadi semakin tegang apabila Marissa dan Mikhail tiba di rumah pusaka keluarga Yusoff, mencetuskan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan. Setiap langkah mereka dipenuhi tanda tanya dan ketakutan, menjadikan penonton turut terperangkap dalam dunia misteri yang menghantui keluarga itu.

    Mengetengahkan unsur mistik dan kuasa ghaib, Qifarah dibalut dengan sinematografi bergaya yang mengajak penonton merenung makna dosa lampau dan peluang untuk penebusan. Setiap babak dihasilkan dengan teliti bagi memastikan pengalaman menonton terasa mendalam dan penuh impak.

    Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar, filem ini dirangka dengan perhatian terhadap setiap perincian, daripada rekaan set dan pencahayaan hingga kepada prop, pakaian dan aksesori watak. Beliau menyatakan bahawa setiap elemen visual dan bunyi disusun bagi memberikan pengalaman seram yang bukan sahaja menakutkan tetapi juga menyentuh emosi penonton. “Saya mahu penonton merasai intensiti dunia Qifarah dan pengajaran yang ingin disampaikan. Setiap babak harus meninggalkan kesan mendalam yang tidak mudah dilupakan selepas meninggalkan pawagam,” jelasnya.

    Qifarah bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Bersedialah untuk menyelusuri perjalanan ngeri di mana setiap titisan darah menyimpan rahsia, setiap bisikan menjadi mantera dan setiap bayangan menuntut pembalasan. Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Qifarah, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.