Tag: #SiriTempatan

  • 58 Juta Tontonan dan Masih Jadi Tanda Tanya, Siapa Sebenarnya Pembunuh Ahyan?

    58 Juta Tontonan dan Masih Jadi Tanda Tanya, Siapa Sebenarnya Pembunuh Ahyan?

    Siri premium yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, Good Boys Go To Heaven terbitan Astro Shaw, berjaya mencuri perhatian penonton di seluruh negara dan secara tidak langsung ‘menyatukan’ mereka dalam satu misi untuk merungkai siapakah dalang di sebalik pembunuhan Ahyan.

    Sejak episod pertama ditayangkan pada 8 Mei lalu, siri ini menerima sambutan yang luar biasa apabila ramai penonton aktif berteka-teki, mengemukakan pelbagai teori serta berkongsi spekulasi di media sosial mengenai identiti sebenar pembunuh. Malah, ramai yang mengakui mereka berada dalam “detective mode” setiap kali episod baharu ditayangkan. Setiap episod yang bersiaran terus menambah lapisan misteri, membuatkan penonton lebih teliti mencari petunjuk dan menyusun sendiri kemungkinan yang berlaku.

    Menurut Penerbit Eksekutif Good Boys Go To Heaven merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, siri premium ini merupakan sebahagian daripada usaha Astro Shaw untuk membawa penceritaan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, sambil meneroka idea kreatif yang lebih berani dan memperkukuhkan penglibatan penonton.

    “Sejak awal lagi, siri ini dibangunkan bukan sahaja untuk mengetengahkan isu sosial yang dekat dengan masyarakat, tetapi juga untuk memberikan pengalaman tontonan yang lebih interaktif. Apa yang kami lihat hari ini, Good Boys Go To Heaven telah berkembang menjadi satu pengalaman kolektif yang cukup istimewa dan boleh dianggap sebagai satu titik perubahan dalam industri.

    Penonton daripada pelbagai latar belakang bukan sekadar menonton, tetapi turut aktif membina teori, berkongsi analisis dan mencetuskan pelbagai perbualan di platform digital. Di luar layar, siri ini juga membuka ruang kepada perbincangan sosial yang lebih luas. Kami turut bekerjasama dengan MIASA bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat.

    Kami amat menghargai sokongan yang diberikan dan teruja melihat bagaimana siri ini berjaya menyatukan penonton Malaysia untuk berkongsi pandangan, mencetuskan kesedaran serta menghubungkan mereka secara emosi dengan konflik dan kepedihan yang dilalui oleh setiap watak,” katanya.

    Dari segi pencapaian, Good Boys Go To Heaven menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan apabila merekodkan lebih 58 juta tontonan serta 9.5 juta capaian di semua platform media sosial. Angka ini sekali gus membuktikan kekuatan siri tersebut dalam menarik perhatian penonton dalam ekosistem digital masa kini.

    Siri ini juga berjaya berada dalam senarai Top 10 Netflix selama enam minggu berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kandungan tempatan paling banyak diperkatakan ketika ini.

    Rata-rata penonton memuji kekuatan skrip yang diketuai oleh Mira Mustaffa serta pendekatan penceritaan yang berbeza daripada kebiasaan. Gabungan naratif yang berlapis dan elemen psikologi yang mendalam menjadikan siri ini satu pengalaman tontonan yang segar serta mencabar.

    Antara komen yang mendapat perhatian ialah daripada pengguna media sosial @emanemot yang berkata, “Good Boys Go To Heaven ni dah level lain eh. Local series paling solid aku layan setakat ni. Sinematografi, plot, lakonan… semuanya chef’s kiss. Can we just make this the new standard untuk industri drama Malaysia?”

    Dari aspek lakonan pula, para pelakon menerima pujian meluas daripada penonton, khususnya tiga pelakon kanak-kanak yang berjaya membawa watak mereka dengan penuh emosi dan meyakinkan.

    “Kena sangat, terutamanya watak Yasser kanak-kanak yang dilihat hampir sama dari segi ekspresi dan cara pembawaan. Tiga pelakon kanak-kanak ini juga berjaya mengangkat Episod 6 dengan sangat baik walaupun ia sarat dengan emosi dan cukup disturbing,” tulis pengguna @haar-r.

    Seorang lagi penonton, @ericfuzi_f88, turut berkongsi pandangannya dengan menyatakan, “Yasser, Bahamin dan Zayd junior bagus dalam lakonan. Suka dengar penyampaian dialog dan tidak tipikal pelakon kanak-kanak.”

    Selain jalan cerita dan lakonan, interaksi barisan pelakon di media sosial turut menjadi antara faktor yang mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat. Pelakon seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson dan Sky Iskandar dilihat aktif berinteraksi di Threads menerusi perkongsian yang dibuat mengikut karakter masing-masing, sekali gus menjadikan pengalaman menonton lebih hidup dan dekat di hati penonton.

    Good Boys Go To Heaven diterajui oleh penulis skrip terkenal Mira Mustaffa yang juga bertindak sebagai showrunner siri ini, manakala Ariff Zulkarnain menggalas tanggungjawab sebagai pengarah. Selain Beto, Zahirah, Amerul dan Sky, siri ini turut dibarisi pelakon seperti Firdaus Karim, Malek McCrone, Amanda Ang, Mila Mohsin, Dai Fuad, Marzuki Noh, Zaleha Iman dan Sayf Mikael.

    Siri ini mengisahkan Yasser, seorang bapa yang berdepan detik paling gelap dalam hidupnya apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum ditemui dalam keadaan tragis akibat dibunuh dengan kejam. Pada masa sama, siri ini turut menyentuh isu trauma dan kesan psikologi yang memberi impak emosi kepada penonton.

    Kesemua episod Good Boys Go To Heaven kini boleh ditonton menerusi On Demand, sooka dan Astro Citra (Saluran 108).