Penyanyi dan komposer berbakat, Andi Bernadee, kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Siapakah Namamu. Lagu ini mengangkat naratif indah tentang detik pertemuan cinta yang hadir tanpa diduga, menggamit perasaan pada pandangan pertama.
Karya ini merupakan hasil kolaborasi mantap bersama Kuizz dan The T, dengan Kuizz bertindak sebagai penyusun muzik dan penerbit. Menurut Andi, Siapakah Namamu membawa pendengar menyelami pengalaman jatuh cinta secara tiba-tiba – saat hati terpaut pada seseorang yang belum dikenali, namun mencetuskan keinginan untuk mendekati dan mengenalinya.
“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang menunggu cinta hadir dalam hidupnya. Kemudian, cinta itu muncul di hadapan mata – mempesona dengan keindahan dan keayuan – lalu timbul rasa ingin mengenali insan tersebut,” jelas Andi.
Inspirasi lagu ini bermula apabila Andi menerima melodi daripada The T, yang terus ‘menawan’ perhatiannya sejak kali pertama didengar. “Rentaknya begitu istimewa, dan saya belum pernah ada lagu seperti ini dalam discography saya sebelum ini,” katanya.

Menariknya, Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Andi Mapangile turut terlibat dalam penulisan lirik, menyuntik sentuhan peribadi agar karya ini dekat di hati peminat. Walaupun proses rakaman berjalan lancar, beliau mengakui lagu ini menuntut kawalan vokal yang teliti, khususnya pada bahagian melodi yang naik dan turun.
“Melodinya mungkin kedengaran mudah, tetapi ia sebenarnya mencabar kawalan vokal. Namun, keunikan melodi inilah yang menjadi kekuatan utama lagu ini,” tambahnya.
Andi turut menghargai kerjasama padu daripada rakan kolaborasinya. “Kuizz dan The T adalah tulang belakang di sebalik kejayaan lagu ini. Saya amat berterima kasih atas dedikasi mereka, dan tidak teragak-agak untuk bekerjasama lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Bagi Andi, Siapakah Namamu tidak memerlukan pendengar untuk menganalisis lirik secara mendalam. “Mainkan saja lagu ini ketika anda dilamun cinta dengan seseorang yang baru dikenali perasaan itu akan sampai dengan sendirinya,” katanya sambil tersenyum.
Siapakah Namamu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital mulai 15 Ogos 2025, manakala muzik video rasmi turut ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube Andi Bernadee.
