Tag: #SeparuhAkhirAJL

  • INI SENARAI TOP 20 YANG AKAN BERENTAP DI PENTAS AJL40 SA

    INI SENARAI TOP 20 YANG AKAN BERENTAP DI PENTAS AJL40 SA

    Kuala Lumpur, 5 April 2026 – Tirai penentuan kini dibuka apabila 20 lagu terbaik yang bakal berentap di pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40 SA) diumumkan secara rasmi, sekali gus merungkai teka-teki yang dinantikan peminat muzik tempatan. Bersempena edisi ke-40 yang cukup berprestij, TV3 tampil dengan pendekatan lebih dinamik dengan menampilkan karya-karya terbaik hasil daripada carta Muzik Muzik 40 (MM40) untuk bersaing merebut tempat ke pentas akhir AJL40.

    Pengumuman tersebut dibuat menerusi program Muzik Muzik yang bersiaran pada jam 12.00 tengah hari, dengan jangkaan bahawa edisi kali ini bakal menyajikan persaingan sengit dan persembahan berkualiti tinggi daripada barisan artis yang tersenarai. Kesemua lagu yang dipilih telah melalui proses penilaian teliti oleh panel juri profesional, berdasarkan kriteria yang ditetapkan, sebelum 20 karya dengan markah tertinggi layak ke peringkat separuh akhir.

    AJL40 SA akan berlangsung selama dua malam iaitu pada 17 dan 18 April 2026, secara langsung dari Studio 1 Glenmarie. Pentas berprestij ini dijangka menjadi medan terbaik buat para penyanyi dan komposer menampilkan kreativiti serta kekuatan vokal masing-masing dalam usaha memikat hati juri dan penonton untuk melangkah ke peringkat akhir.

    Selain itu, episod terkini Muzik Muzik turut melengkapkan senarai penuh 30 lagu carta MM40 dengan pengumuman baki lagu yang tidak berjaya mara ke separuh akhir. Antara yang tersenarai termasuk beberapa karya popular yang tetap mendapat tempat di hati peminat, sekali gus membuktikan saingan tahun ini cukup sengit dan berkualiti tinggi.

    Berikut merupakan senarai penuh 20 lagu yang bakal bersaing di pentas AJL40 SA:

    Senarai 20 Lagu AJL40 Separuh Akhir

    No.LaguPenyanyi
    1Hijab RinduBlack Hanifah
    2NurcintaAmir Masdi
    3NostalgilaHaqiem Rusli
    4LemahDayang Nurfaizah
    5Kerana EgoKhai Bahar
    6Tangisan Seorang PendosaMarsha Milan
    7Pernah Punya AkuShila Amzah
    8FFloor 88
    9TiwikarmaK.O.I
    10PuaskahAmeerais & Mariam Saim
    11Seribu Tahun LagiImran Ajmain
    12Tak AdilAisha Retno
    13Semacam PandoraHazama
    14Rasa & TakdirAmira Othman & Irfan Haris
    15Cak Cak CekukWani Kayrie
    16Hilangmu Tak TergantiTajul & Afieq Shazwan
    17KamuAina Abdul
    18MenyalaStacy
    19Ke Mana NiLuca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik
    20Lumangad Oku DikaRyenald Guntabid

    Dengan barisan lagu yang pelbagai dari segi genre dan gaya persembahan, AJL40 SA dijangka menawarkan pengalaman muzik yang segar dan menghiburkan. Peminat boleh menyaksikan siaran langsung pada jam 9.00 malam di TV3 serta penstriman eksklusif di Tonton, sekali gus merasai sendiri debaran persaingan menuju ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40.