Tag: #RTM

  • Nadeera Sedia Gegarkan Pentas Dunia Menerusi ABU Song Festival 2025

    Nama Nadeera terus bersinar di persada seni tanah air apabila bakat besar yang dimilikinya sekali lagi membuka peluang untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Penyanyi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu telah dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili Malaysia ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang bakal berlangsung pada 13 September ini di Tsonjin Boldog, Mongolia.

    Pemilihan ini bukan sahaja menjadi detik penting dalam perjalanan seni Nadeera, malah turut mencerminkan keyakinan tinggi pihak RTM terhadap keupayaan vokal dan aura bintang yang dimiliki penyanyi muda ini. Dalam festival tersebut, Nadeera akan mempersembahkan lagu hitnya berjudul “Bukan Lagi Kita”, sebuah karya yang melonjakkan namanya sebagai antara vokalis terbaik generasinya.

    Bagi Nadeera, peluang ini disifatkan sebagai satu penghormatan besar dan pengalaman yang tidak ternilai. Beliau menzahirkan rasa syukur dan terharu atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia. Menurutnya, setiap persembahan yang dibawa bukan sekadar mewakili dirinya sebagai seorang penyanyi, tetapi juga sebagai anak Malaysia yang mengusung doa, harapan dan kebanggaan seluruh rakyat.

    Meskipun sebelum ini Nadeera sudah pernah beraksi di luar negara termasuk di Vietnam dan Indonesia, namun penglibatannya di ABU Song Festival memberi makna yang lebih besar. Kali ini, beliau bukan sekadar menghiburkan penonton, tetapi tampil sebagai wakil rasmi negara di sebuah festival berskala antarabangsa bersama barisan artis hebat dari seluruh rantau Asia.

    Nadeera tidak lupa menyampaikan penghargaan buat RTM atas pemilihan tersebut, Rocketfuel Entertainment atas sokongan berterusan, pasukan produksi, para pemuzik serta peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya. Beliau turut memohon doa agar perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahannya nanti mampu menyentuh hati penonton di seluruh dunia.

    Pengurusan Rocketfuel Entertainment dalam kenyataan rasmi turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Nadeera. Pemilihan ini dianggap sebagai bukti bahawa penyanyi berbakat itu memiliki kelebihan vokal yang luar biasa serta disiplin kerja yang tinggi. Mereka yakin Nadeera mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dan membuka ruang lebih luas untuk kerjasama global pada masa akan datang.

    ABU Song Festival merupakan acara tahunan anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union yang mengangkat bakat-bakat muzik dari seluruh rantau Asia dalam bentuk persembahan gala. Tidak berbentuk pertandingan, festival ini memberi peluang kepada artis dari negara ahli penuh atau tambahan ABU untuk mempersembahkan karya mereka di hadapan khalayak secara langsung, sekali gus menampilkan kepelbagaian budaya muzik di peringkat antarabangsa.