Tag: #RNBMeetsKL

  • Superstar UK Craig David Kembali Menghangatkan KL dengan TS5 Live!

    Superstar UK Craig David Kembali Menghangatkan KL dengan TS5 Live!

    Raja R&B dan UK Garage dari United Kingdom, Craig David, bakal menggegarkan pentas ibu kota menerusi konsert eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” yang dijadual berlangsung pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Kemunculan ini menandakan kepulangan semula penyanyi legenda tersebut ke Malaysia selepas lebih sedekad, sekali gus mengubat kerinduan para peminat setia yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak awal milenium.

    Lebih menarik, kehadiran Craig David ke Malaysia turut bertepatan dengan pelancaran album studio terbaharunya yang kesembilan berjudul Commitment, yang mula dipasarkan pada hari ini, 8 Ogos 2025. Album ini disifatkan sebagai karya paling peribadi beliau setakat ini, menampilkan tema pencarian makna komitmen dan evolusi dirinya sebagai seorang artis. Dalam Commitment, Craig David turut bergandingan dengan beberapa nama besar antarabangsa seperti Tiwa Savage, JoJo dan Louisa Johnson. Gabungan elemen nostalgia daripada era Born To Do It bersama suntikan muzik moden menjadikan album ini segar, relevan dan menyentuh hati.

    Konsert yang bakal berlangsung ini akan menampilkan konsep istimewa TS5, sebuah gabungan unik antara persembahan vokal langsung, set DJ dan elemen live remixing yang memperlihatkan versatiliti Craig David sebagai penghibur serba boleh. Konsep TS5 yang bermula secara sederhana sebagai siaran radio dari apartmennya di Miami pada 2012, kini telah menjelajah ke pentas-pentas berprestij di seluruh dunia termasuk di Ibiza, Dubai, London dan Tokyo. Kini, buat julung kalinya, peminat di Malaysia akan berpeluang merasai sendiri kehebatan konsep ini secara langsung.

    Penonton boleh menjangkakan sebuah malam yang penuh tenaga, dinamik dan sarat dengan nostalgia, apabila Craig David menyampaikan rangkaian lagu hitsnya yang merentasi lebih dua dekad. Antara lagu ikonik yang dijangka menghangatkan malam tersebut termasuk “Fill Me In”, “7 Days”, “Walking Away”, “What’s Your Flava” dan “When The Bassline Drops”.

    Craig David mula mencuri perhatian dunia menerusi kolaborasinya bersama Artful Dodger menerusi lagu “Re-Rewind”, sebelum meledak dengan single solo pertamanya “Fill Me In” yang melonjakkan namanya ke tangga pertama carta UK, menjadikannya artis solo lelaki termuda mencapai kejayaan tersebut. Album debutnya, Born To Do It, yang diterbitkan pada tahun 2000, terjual lebih 7 juta unit di seluruh dunia dan telah diiktiraf oleh MTV serta The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman.

    Sepanjang kerjayanya, Craig David telah mencatat lebih 13 juta jualan album, menerima pelbagai anugerah berprestij termasuk tiga Ivor Novello Awards, dua MTV Europe Music Awards dan 14 pencalonan BRIT Awards. Pada tahun 2021, beliau turut dikurniakan gelaran Member of the Order of the British Empire (MBE) oleh mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangan cemerlang dalam bidang muzik dan kebajikan.

    Tiket untuk konsert “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual dalam masa terdekat. Para peminat disarankan untuk mengikuti saluran rasmi artis ini bagi mendapatkan maklumat terkini dan memastikan mereka tidak terlepas menyaksikan sebuah persembahan eksklusif yang dijangka menjadi antara konsert paling hangat di Malaysia tahun ini. Untuk maklumat lanjut, layari saluran media sosial rasmi Craig David dan TS5 di Instagram, Twitter dan Facebook.