Tag: #RayaDiKampung

  • Sakura Band Realisasikan Impian Dengan Single Raya Pertama “Raya Di Kampung”

    Sakura Band Realisasikan Impian Dengan Single Raya Pertama “Raya Di Kampung”

    Menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, kumpulan pop rock tempatan, Sakura Band tampil memeriahkan musim perayaan dengan single raya pertama mereka berjudul “Raya Di Kampung”. Lagu ini mengetengahkan gabungan elemen nostalgia sambutan Hari Raya dengan sentuhan muzik moden yang segar, sekali gus memberi nafas baharu kepada lagu raya kontemporari.

    Menurut anggota kumpulan yang mewakili Sakura Band, Mell atau Melley Matius, penghasilan lagu raya sebenarnya sudah lama menjadi antara impian kumpulan tersebut sejak awal penubuhan mereka. Katanya, idea menghasilkan lagu bertemakan balik kampung tercetus daripada keinginan untuk menggambarkan perasaan gembira dan keterujaan masyarakat yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

    Tambah Mell, inspirasi lagu tersebut turut dipengaruhi oleh lagu klasik Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman, namun Sakura Band mahu mempersembahkannya dengan pendekatan muzik yang lebih moden tanpa menghilangkan sentuhan nostalgia yang sinonim dengan suasana raya. Proses kreatif lagu ini juga disifatkan berjalan secara spontan dan organik kerana kumpulan tersebut lebih memberi fokus kepada emosi dan keseronokan yang ingin disampaikan kepada pendengar.

    Dari segi susunan muzik, “Raya Di Kampung” masih mengekalkan identiti bunyi Sakura Band yang sebelum ini diperkenalkan melalui single mereka “Polaroid”. Namun bagi menyerlahkan lagi suasana Aidilfitri, elemen muzik tradisional Melayu turut digabungkan dalam komposisi lagu ini bagi mewujudkan suasana raya yang lebih terasa dan dekat dengan budaya tempatan.

    Melalui lagu ini, Sakura Band berharap para pendengar dapat merasai kegembiraan pulang ke desa serta kemeriahan menyambut Syawal bersama keluarga. Pada masa yang sama, lagu ini juga ditujukan kepada mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung halaman agar tetap dapat merasai kehangatan dan nostalgia Aidilfitri melalui muzik.

    Single “Raya Di Kampung” merupakan hasil ciptaan Nawfas dan Melley Matius, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Melley sendiri. Lagu ini diterbitkan dengan kerjasama Sakura Band bersama Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari, dengan proses adunan serta mastering disempurnakan oleh Koh Kpro.

    Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, Sakura Band berharap lagu ini mampu menjadi antara runut bunyi wajib setiap kali tibanya Syawal. Single “Raya Di Kampung”, terbitan Seventeen Eleven Music, kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama.