Exists sekali lagi bersedia mencipta detik bersejarah dengan penganjuran EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, sebuah konsert penutup tahun 2025 yang bukan sekadar persembahan rutin, tetapi dirangka sebagai pengalaman eksklusif yang mengangkat makna sebenar premium buat para peminat. Selepas muncul dalam rangkaian konsert tanpa henti sejak 2019 — termasuk persembahan bersama Slam pada Julai lalu — Exists kembali dengan semangat baharu. Konsert ini dianjurkan oleh JioBuddy, yang berkongsi visi sama untuk menghadirkan sebuah pementasan yang lebih hampir kepada jiwa peminat. Pada awalnya konsert dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober, namun setelah menilai pelbagai aspek penting termasuk keperluan teknikal, Exists dan JioBuddy sebulat suara memutuskan untuk menunda acara tersebut ke 20 Disember 2025, bertempat di Petaling Jaya, Selangor. Penundaan ini dibuat bukan kerana kekangan, tetapi sebagai komitmen supaya konsert yang diberi nama besar itu benar-benar membawa erti premium seperti yang dijanjikan.
JioBuddy memahami kebimbangan peminat di kala trend industri memperlihatkan beberapa konsert yang ditunda akhirnya dibatalkan. Namun, penundaan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ merupakan langkah strategik bagi memastikan para peminat merasai pengalaman yang lebih bermakna dan tersusun. Menurut Sean Ng dari JioBuddy, Exists mahu memastikan judul premium bukan sekadar label tetapi dapat diterjemahkan melalui suasana, nilai sentimental dan eksklusiviti yang dibina khas untuk para penyokong mereka. Hal ini turut diperkukuhkan oleh Musa, pemain bass Exists, yang mendedahkan bahawa konsert kali ini akan menampilkan konsep lebih intim dan up close and personal, memberikan peminat peluang mendekati Exists dengan cara yang belum pernah disajikan dalam mana-mana konsert mereka sebelum ini.

Menariknya, konsert ini akan dibahagikan kepada empat segmen utama, merangkumi sesi sembang-bual, soal jawab bersama peminat serta perkongsian cerita di sebalik beberapa lagu hits Exists yang telah menjadi sebahagian daripada memori kolektif rakyat Malaysia. Along, gitaris Exists, menjelaskan bahawa peminat akan dibawa menyelami kisah sentimental setiap lagu — bermula dari detik inspirasi penciptaan, proses rakaman hingga ke perasaan yang terus hidup dalam diri para anggota kumpulan sepanjang lebih tiga dekad berkarya. Pengarah konsert, Jennifer Thompson, dilantik bagi memastikan setiap babak diberi sentuhan artistik, dramatik dan emosional yang selaras dengan reputasi Exists sebagai kumpulan legenda Malaysia.
Nilai premium konsert ini turut diterjemahkan melalui pemberian dua hadiah eksklusif kepada peminat bertuah. Antaranya ialah sebuah gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along, yang pernah digunakan dalam rakaman lagu-lagu terkenal seperti Setanggi Syurga (Inteam), Salam Rindu (Fathi Naim) serta beberapa persembahan Exists termasuk di Studio Kool semasa promosi Konsert Exists Reunion 2019. Hadiah kedua ialah satu set dram jenama PDP CenterStage lengkap dengan Evans Drumheads dan Promark Sticks, hasil kerjasama dengan JS Music. Kedua-dua hadiah ini hanya akan dimenangi oleh pembeli tiket konsert, dan tata cara penyertaannya akan diumumkan melalui media sosial. Peluang menang juga berbeza mengikut kategori tiket — pembeli tiket Premium menerima tiga peluang, VIP dua peluang, dan Diamond satu peluang.

Bagi Exists, penundaan tarikh bukan halangan, sebaliknya memberi ruang lebih luas untuk memperhalusi persiapan teknikal demi menghasilkan persembahan berskala besar terakhir mereka pada tahun ini. Konsert ini juga menjadi pentas untuk Exists menzahirkan penghargaan kepada peminat yang telah menyokong karya mereka sejak kemunculan pertama pada tahun 1991. Ezad menegaskan bahawa Exists sentiasa menjaga kualiti persembahan dan menghormati setiap ringgit yang dilaburkan peminat untuk hadir menyokong mereka. Oleh itu, mereka komited menjadikan konsert ini pengalaman mewah yang tidak hanya ditonton tetapi dirasai sepenuhnya.
Sebagai penganjur, JioBuddy turut yakin bahawa Exists mampu mengekalkan piawaian tinggi yang telah dibina sepanjang karier mereka. Walaupun Exists sering membawakan lagu-lagu hit yang sama dalam banyak persembahan, JioBuddy menjamin bahawa SENTUHAN PREMIUM yang dijanjikan kali ini akan membezakan konsert ini daripada konsert-konsert terdahulu. Premium bukan sahaja dari segi permainan muzik yang lebih halus, atau kualiti audio yang dipertingkat, tetapi juga dari segi hubungan langsung antara Exists dan peminat pada malam tersebut.

Tambah istimewa lagi, 100 peminat bertuah akan mendapat peluang bergambar secara eksklusif bersama setiap anggota Exists — sebuah pengalaman yang jarang ditawarkan dalam konsert berskala besar. Tiket pula tersedia dalam tiga kategori iaitu Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368), dan boleh dibeli melalui JioTix. Sambutan luar biasa terhadap tiket Diamond menyaksikan pihak penganjur menambah kuota untuk memenuhi permintaan. Semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah untuk tarikh baharu. Selain itu, diskaun khas turut ditawarkan melalui pembelian bundle korporat mulai 20% hingga 40% bergantung kepada jumlah tiket.
Dengan gabungan persembahan eksklusif, perkongsian kisah belakang tabir, hadiah premium, dan pengalaman intim bersama anggota Exists, EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sahaja dijangka menjadi konsert paling mewah kumpulan ini tahun 2025, tetapi juga satu malam penuh emosi dan nostalgia yang akan dikenang para peminat untuk selama-lamanya.

INFORMASI
Artis: EXISTS
Acara: EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ
Lokasi: JioSpace, Petaling Jaya
Tarikh: 20 Disember 2025
Waktu: 8.30 Malam (Sabtu)
Penganjur: JioBuddy
Harga tiket: Premium (RM588), VIP (RM488), Diamond (RM368)
Pembelian tiket: www.jiotix.asia
Talian hotline: +6011 1660 1122 (Whatsapp Sahaja)
