Tag: #POPUPMUZIK

  • Hype Live dan Black Sky Enterprise Umum Pembatalan Acara POP UP MUZIK Oktober Ini

    Hype Live dan Black Sky Enterprise Umum Pembatalan Acara POP UP MUZIK Oktober Ini

    Hype Live dan Black Sky Enterprise dengan rasa berat hati ingin mengumumkan pembatalan acara POP UP MUZIK yang menampilkan ARMADA dan Batas Senja di ZEPP, Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober 2025. Pembatalan ini dibuat atas sebab-sebab yang tidak diduga dan di luar kawalan pihak penganjur.

    Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul kepada semua peminat dan rakan media yang telah banyak membantu. Sokongan dan pemahaman anda semua amat dihargai sepanjang proses ini.

    Bagi mereka yang telah membeli tiket, bayaran balik penuh termasuk harga tiket asal, yuran tempahan dan yuran transaksi akan diproses secara automatik ke kad kredit yang digunakan semasa pembelian. Walau bagaimanapun, pelanggan diminta memberi masa antara 10 hingga 14 hari perniagaan untuk dana dipaparkan dalam penyata kad kredit masing-masing.

    Pihak Hype Live dan Black Sky Enterprise menegaskan bahawa pembatalan ini tidak menghalang mereka untuk terus menghiburkan peminat dan menyediakan kenangan indah bersama artis kesayangan. Sebarang pengumuman terbaru mengenai acara yang akan datang akan disampaikan setelah semua perancangan selesai dipersetujui oleh kedua-dua pihak penganjur.

    Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan anda dan berharap dapat bertemu anda dalam acara akan datang.

  • Rentak Global, Jiwa Serumpun: POP UP MUZIK Gegar Ibu Kota

    Hype Live dan Black Sky Enterprise dengan penuh semangat mempersembahkan POP UP MUZIK, sebuah inisiatif muzik baharu yang diwujudkan untuk mendekatkan artis-artis Asia dengan peminat di Malaysia.

    Edisi sulung acara ini akan menampilkan Armada, band legenda dari Indonesia dengan koleksi lagu malar segar yang terus menjadi siulan ramai, serta kumpulan pujaan hati pendengar Malaysia, Batas Senja, yang semakin menambat jiwa dengan karya puitis penuh emosi.

    Acara ini bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2025 dan bukan sekadar konsert biasa. POP UP MUZIK dicipta sebagai penghubung budaya dan muzik rentas negara, memberi peminat peluang menikmati pengalaman yang lebih intim, interaktif dan penuh momen istimewa.

    “Kami tahu peminat di Malaysia sudah lama merindui peluang untuk berinteraksi lebih dekat dengan artis kegemaran mereka dari luar negara,” ujar Dipta, Ketua Pegawai Eksekutif Hype Live. “POP UP MUZIK adalah jawapan kepada kerinduan itu – sebuah platform yang memberikan pengalaman peribadi dan mesra bersama artis, termasuk sesi Meet & Greet dan peluang bergambar eksklusif.”

    Willy Dozan, wakil Black Sky selaku penerbit bersama, pula menyifatkan percaturan membawa dua band ini sebagai langkah berani memandangkan mereka belum pernah berkongsi pentas POP UP MUZIK di Kuala Lumpur. Menurutnya, sambutan hangat daripada penggemar terhadap Armada dan Batas Senja menjadi bukti bahawa gabungan dua nama besar ini pasti menghadirkan hiburan yang mengasyikkan dan kenangan indah kepada para penonton.

    Armada bakal menggegarkan pentas dengan deretan lagu popular mereka seperti Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi yang pasti membuat seluruh dewan bergema dengan nyanyian bersama. Sementara itu, Batas Senja akan mengisi malam dengan sentuhan emosi melalui karya indah seperti Nanti Kita Seperti Ini, Kita Usahakan Lagi dan Menceritakanmu.

    Gabungan tenaga dua kumpulan hebat ini menjanjikan sebuah malam penuh warna, emosi dan harmoni yang akan dikenang lama oleh setiap pengunjung. Ribuan peminat dijemput untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman magis ini. Tiket sudah mula dijual di HYPELIVE-MY.TIXR.COM/POPUPMUZIK. Jangan lepaskan peluang untuk hadir dan merasai sendiri kehangatan POP UP MUZIK pada 17 Oktober 2025 di Zepp Kuala Lumpur.