Tag: #PNB

  • Mengukuh Dominasi: Merdeka 118 Kini Menjadi Rujukan Utama bagi Piawaian Keselamatan Menara Tinggi

    Mengukuh Dominasi: Merdeka 118 Kini Menjadi Rujukan Utama bagi Piawaian Keselamatan Menara Tinggi

    Sebagai ikon pembangunan di peringkat global, Menara Merdeka 118 terus menetapkan penanda aras baharu bagi inovasi keselamatan di Malaysia. Menara ini secara rasmi telah dianugerahkan Sijil Perakuan Bomba (FC) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus mengesahkan kepatuhan sepenuhnya terhadap piawaian keselamatan kebakaran yang paling ketat di bawah perundangan negara. Pencapaian ini membuktikan keteguhan sistem keselamatan nyawa yang dilaksanakan di seluruh premis bagi memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap tertinggi, sesuai dengan skala dan kompleksiti menara super tinggi ini.

    Bagi memperkukuh komitmen terhadap kecemerlangan operasi, Menara Merdeka 118 turut mengintegrasikan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) yang terkini. Langkah ini meningkatkan keupayaan pengurusan kecemasan menerusi pemantauan masa nyata serta penyelarasan yang lebih strategik bersama JBPM—elemen yang sangat kritikal dalam menjamin tindakan pantas di persekitaran bangunan pencakar langit yang kompleks.

    Semasa majlis penyerahan sijil tersebut, Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hj. Hassan ‘As’ari bin Hj. Omar, Pengarah JBPM Kuala Lumpur menjelaskan: “Pihak bomba bersama Malaysia Supertall Secretariat (MSS) sentiasa komited memastikan piawaian keselamatan kebakaran bagi bangunan super tinggi ini memenuhi kriteria bertaraf dunia. Bagi projek berskala besar sebegini, standard keselamatan hanya dapat dikekalkan melalui penyelenggaraan yang konsisten. Pelaksanaan SPKA jelas memperkasakan lagi koordinasi pasukan penyelamat semasa kecemasan.”

    Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd mengulas: “Sijil Perakuan Bomba ini adalah bukti bahawa Menara Merdeka 118 telah mencapai matlamat keselamatan kebakaran yang ditetapkan. Sebagai mercu tanda negara, fokus kami bukan sekadar patuh kepada peraturan, tetapi memastikan keselamatan diterapkan dalam setiap aspek operasi. Dengan SPKA, kami menawarkan lapisan perlindungan tambahan yang lebih cekap. Ini memberikan keyakinan penuh kepada penyewa dan pengunjung bahawa mereka berada di dalam bangunan yang dilindungi oleh piawaian pengurusan keselamatan terbaik di dunia.”

    Menara Merdeka 118 juga merupakan antara pembangunan utama yang mendapat sokongan Malaysia Supertall Secretariat (MSS), sebuah organisasi keselamatan perintis di Asia untuk bangunan melebihi 300 meter. MSS memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengurusan kecemasan melalui kolaborasi strategik antara pemilik bangunan dan pihak berkuasa. Pengiktirafan ini turut menyertai senarai kejayaan lain, termasuk menjadi bangunan pertama di Malaysia yang menerima status MD Nexus bagi infrastruktur dan ekosistem digital bernilai tinggi.

    Melengkapkan kecemerlangannya, Menara Merdeka 118 turut memegang pensijilan LEED Platinum, pengiktirafan triple platinum (GreenRE & Green Building Index), serta Pensijilan WELL Core Platinum. Dengan ketersambungan yang lancar dan piawaian pejabat Gred A, Merdeka 118 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi perniagaan dan gaya hidup pilihan di Kuala Lumpur yang mengutamakan kelestarian serta keselamatan menyeluruh.