Tag: #PentasAkhirSemakinHampir

  • Nayla & Zahra Undur Diri, Baki Peserta Beri Aksi Terbaik Menuju Minggu Seterusnya

    Nayla & Zahra Undur Diri, Baki Peserta Beri Aksi Terbaik Menuju Minggu Seterusnya

    Minggu ketiga program realiti hiburan popular, The Chosen One XTRA, kembali menghangatkan pentas dengan tema “Bussin’ Beats” yang menjanjikan persembahan penuh bertenaga dan segar daripada barisan peserta cilik serta coach selebriti mereka. Dihoskan oleh Nabil Ahmad, minggu ini menyaksikan Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah kembali di kerusi juri tetap, manakala juri jemputan pula terdiri daripada Datuk Yusry Abdul Halim dan Elly Mazlein, dua figura seni tanah air yang tidak asing lagi dengan aura dan pengalaman tersendiri.

    Seperti biasa, setiap persembahan dinilai sepenuhnya oleh juri sejurus selepas mereka menamatkan aksi di pentas. Minggu ini menyajikan pelbagai genre lagu daripada rock legenda tempatan sehinggalah irama tradisional moden. Nikki Palikat bersama pasangan anak didiknya, Iman (14) dan Adawiya (13), mempertaruhkan lagu “Pelesit Kota” nyanyian Search yang terkenal dengan elemen rock yang bertenaga. Namie pula menampilkan gabungan dua peserta, Ayu (14) dan Bella (16), dengan persembahan mashup “Katana” oleh Dinda dan “Awak Kat Mana” oleh Taufik Batisah.

    Sementara itu, Usop membimbing Alif (12) dan Yusuf (13) dalam lagu “Kasihnya Laila” daripada Jinbara yang penuh dengan elemen dramatik dan vokal berkuasa. Achey bersama Rayyan (11) dan Dahlya (7) pula menghiburkan penonton dengan lagu “Hutang” daripada Floor 88 yang sarat dengan humor dan energi. Tidak ketinggalan, gandingan Tuju & Loca B bersama Elysha (15) dan Fana (17) membawakan lagu “Aku Skandal” oleh Hujan yang berentak indie rock.

    Naqiu mengetuai kumpulan Saputra yang dianggotai enam peserta muda — Iaman (11), Anas (11), Aleron (12), Aaron (13), Bilal (10), Aqish (11) dan Syawal (11) — untuk mempersembahkan lagu “Kelentang Kelentong” oleh Hael Husaini, sebuah lagu ceria yang menuntut keseragaman vokal dan pergerakan. Bunga pula bersama Nayla (11) dan Zahra (16) menutup senarai persembahan minggu ini dengan “Dikir Puteri” oleh Noraniza Idris, membawakan elemen tradisional yang memukau.

    Musim ini bukan sekadar mengetengahkan bakat nyanyian semata-mata, malah turut memberi ruang kepada peserta menunjukkan kebolehan lain seperti tarian, akrobatik dan permainan instrumen muzik. Pertandingan yang sepenuhnya dinilai oleh pihak juri ini menawarkan hadiah lumayan — juara bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing menerima RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 berserta trofi.

    Selain itu, pentas akhir nanti akan turut menyaksikan penganugerahan Coach Terbaik bernilai RM10,000 serta Persembahan Terbaik bernilai RM10,000 yang akan ditentukan melalui undian penonton di laman web rasmi The Chosen One XTRA. Minggu ketiga ini pastinya menjadi medan ujian untuk peserta dan coach menonjolkan kreativiti mereka, seiring dengan semangat tema “Bussin’ Beats” yang penuh rentak, warna dan tenaga.