Tag: PendidikanKewangan

  • Alliance Bank Perluas AEIOU Seeds for Life Ke Sekolah Menengah, Terap Nilai Kewangan Bijak dan Kelestarian Alam

    Alliance Bank Perluas AEIOU Seeds for Life Ke Sekolah Menengah, Terap Nilai Kewangan Bijak dan Kelestarian Alam

    Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) hari ini melancarkan AEIOU Seeds for Life – Musim Ke-8 yang membawa tema “Gaya Hidup Bertanggungjawab, Bijak Berbelanja, Bumi Terpelihara”. Pelancaran ini menandakan kesinambungan salah satu program literasi kewangan pelajar paling lama dianjurkan di Malaysia, yang kini memasuki tahun ke-11 sejak diperkenalkan.

    Selaras dengan aspirasi Alliance Bank sebagai “The Bank for Life”, program Seeds for Life diwujudkan bagi menyokong individu dan komuniti pada setiap peringkat kehidupan menerusi inisiatif yang memberi impak positif serta berteraskan masa hadapan. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai konsep asas kewangan, malah membimbing pelajar mengaplikasikan ilmu tersebut dalam situasi kehidupan sebenar.

    Sejak diperkenalkan pada 2015, AEIOU Seeds for Life telah berkembang sebagai platform pendidikan yang menghubungkan pengurusan kewangan harian dengan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar. Melalui program ini, pelajar didedahkan kepada kepentingan menabung, berbelanja secara berhemah dan membuat perancangan kewangan yang bijak, di samping memahami kaitannya dengan amalan hidup lestari.

    YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan dan Dr Aaron Sum, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank merasmikan AEIOU Seeds for Life – Musim 8 yang bertemakan “Gaya Hidup Bertanggungjawab, Bijak Berbelanja, Bumi Terpelihara”.

    Bagi edisi ke-8 ini, AEIOU Seeds for Life mencatat satu pencapaian penting apabila buat pertama kalinya program tersebut diperluaskan kepada pelajar sekolah menengah, selain melibatkan sekolah-sekolah di Pantai Timur. Inisiatif ini turut diperluaskan kepada sekolah antarabangsa dan sekolah swasta terpilih bagi memperluaskan manfaat program kepada lebih ramai komuniti pelajar di seluruh negara.

    Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program ini mencerminkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan, nilai serta kemahiran praktikal yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh, berkata pengenalan modul biodiversiti dalam AEIOU Seeds for Life amat bertepatan dengan keperluan semasa, terutama ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim yang semakin ketara.

    “Langkah memperkenalkan modul biodiversiti dalam program ini amat bertepatan dengan keperluan masa memandangkan kita kini berhadapan dengan cabaran perubahan iklim yang semakin ketara. Inisiatif ini selari dengan pengenalan subjek baharu Alam dan Manusia oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum, menjelaskan bahawa edisi kali ini memberi penekanan kepada hubungan antara pengurusan kewangan yang bijak dan pemeliharaan alam sekitar menerusi modul Biodiversiti.

    “Melalui modul Biodiversiti, pelajar akan mempelajari bagaimana amalan seperti penjimatan air, penggunaan tenaga secara berhemah dan pemilihan produk mesra alam bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, tetapi juga menjana penjimatan kos dalam jangka panjang. Ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan yang bijak dan kelestarian alam sekitar saling berkait rapat,” katanya.

    Bagi memperkukuhkan elemen kelestarian dalam program edisi kali ini, Alliance Bank menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jane Goodall’s Roots & Shoots Malaysia, sebagai pakar rujuk dalam pembangunan kandungan kurikulum berkaitan biodiversiti. Kerjasama ini bertujuan memastikan modul pembelajaran yang disediakan lebih mendalam, relevan dan berasaskan pengetahuan sahih.

    Siri bengkel AEIOU Seeds for Life Musim Ke-8 telah bermula pada 11 Jun 2026 di beberapa sekolah terpilih seluruh negara. Selain pembelajaran teori, para pelajar turut diberi peluang merasai pengalaman pembelajaran interaktif menerusi permainan papan “Eco-Heroes” yang diperkenalkan buat pertama kali.

    YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan dan Dr Aaron Sum, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank merasmikan AEIOU Seeds for Life – Musim 8 yang bertemakan “Gaya Hidup Bertanggungjawab, Bijak Berbelanja, Bumi Terpelihara”.

    Melalui permainan tersebut, pelajar akan berdepan pelbagai simulasi kehidupan sebenar yang menghubungkan keputusan kewangan harian dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Pendekatan ini bertujuan menjadikan pembelajaran lebih menarik sambil membantu pelajar memahami kepentingan membuat pilihan yang bijak dan bertanggungjawab.

    Program ini turut menampilkan dua pertandingan utama peringkat kebangsaan iaitu AEIOU Eco-Comic Challenge untuk murid sekolah rendah dan AEIOU Eco-Pitching Challenge untuk pelajar sekolah menengah. Kedua-dua pertandingan ini memberi peluang kepada peserta untuk menerapkan ilmu yang dipelajari melalui kreativiti, penceritaan dan pembentangan idea berkaitan pengurusan kewangan bertanggungjawab serta gaya hidup lestari.

    Dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM35,000, para pelajar berpeluang mengetengahkan idea inovatif yang menggabungkan aspek kewangan, kesedaran alam sekitar dan amalan kehidupan mampan. Penyertaan bagi kedua-dua pertandingan ini dibuka sehingga 15 September 2026, manakala majlis penyampaian anugerah akhir dijadualkan berlangsung pada November 2026.

    Selain pertandingan, program ini turut memperkenalkan inisiatif AEIOU Seeds for Life – Pembukaan Akaun Alliance Buddy® RM1 yang membolehkan pelajar membuka akaun simpanan dengan deposit minimum serendah RM1. Inisiatif ini bertujuan memupuk budaya menabung serta membina disiplin kewangan dalam kalangan pelajar sejak usia muda.

    Bagi meningkatkan lagi daya tarikan program, Alliance Bank turut menampilkan OiYO by Montigo sebagai Penaja Impak yang menyumbang sokongan menerusi hadiah menarik serta promosi digital bagi memperluaskan capaian program kepada lebih ramai peserta.

    Program AEIOU Seeds for Life turut dilengkapi dengan komponen Train-the-Trainer (TTT) atau Latihan Pengajar yang memberi pendedahan kepada guru mengenai ilmu kewangan serta menyediakan sumber pembelajaran praktikal untuk digunakan dalam bilik darjah. Melalui pendekatan ini, guru dapat memainkan peranan penting dalam menyebarkan pengetahuan kewangan dan nilai kelestarian kepada lebih ramai pelajar.

    Sejak dilancarkan pada tahun 2015, AEIOU Seeds for Life telah memberi manfaat kepada lebih 148,000 murid di seluruh negara, melibatkan lebih 2,900 guru serta memberi impak kepada lebih 3,510 sekolah. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Alliance Bank dalam memperkasakan pendidikan kewangan serta membentuk generasi muda yang lebih bersedia menghadapi masa depan.

    Sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar yang berminat untuk menyertai AEIOU Seeds for Life – Musim Ke-8 boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuk garis panduan penyertaan dan perkembangan terkini menerusi laman rasmi program di https://www.alliancebank.com.my/aeiou-s8.