Tag: #PasaranHartanahMalaysia

  • PropertyGuru Perkenal Lencana ‘Verified’ Bagi Tingkat Keyakinan & Keselamatan Pasaran Hartanah

    PropertyGuru Perkenal Lencana ‘Verified’ Bagi Tingkat Keyakinan & Keselamatan Pasaran Hartanah

    PropertyGuru Malaysia, pasaran hartanah terkemuka negara, hari ini memperkenalkan Lencana PropertyGuru Verified sebagai inisiatif terbaharu untuk meningkatkan keselamatan dan keyakinan pengguna dalam pasaran hartanah.

    Ciri baharu ini membolehkan pencari hartanah mengenal pasti ejen dan perunding berlesen yang telah melalui proses pengesahan identiti, lesen profesional, maklumat hubungan berdaftar, serta pengakuan terma keselamatan yang ditetapkan PropertyGuru. Setelah disahkan, lencana akan dipaparkan pada profil ejen, penyenaraian hartanah, serta hasil carian di platform.

    Langkah ini hadir susulan laporan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta Tanah (LPPEH) bahawa lebih 1,500 mangsa ditipu ejen tidak berlesen, dengan kerugian hampir RM60 juta antara 2019 hingga 2023.

    Menurut Kenneth Soh, Pengurus Negara – Malaysia, PropertyGuru & iProperty, pembelian atau penyewaan rumah adalah komitmen kewangan terbesar bagi kebanyakan rakyat Malaysia, justeru ia harus bermula dengan keyakinan.

    “Dengan Lencana PropertyGuru Verified, pencari hartanah kini mempunyai cara jelas mengenal pasti ejen berlesen. Inisiatif ini bukan sahaja melindungi pengguna daripada penipuan, malah mengiktiraf profesional hartanah yang mengekalkan tahap ketelusan tertinggi,” katanya.

    Pelancaran turut mendapat sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (MIEA), dan Persatuan Institut Ejen dan Konsultan Hartanah Malaysia (IMPAC). Mereka menekankan kepentingan kerjasama industri dalam meningkatkan kesedaran awam serta melindungi integriti pasaran.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, YDH SAC Mohd Razali bin Mohd Idrus, berkata ciri ini penting dalam membendung penyamaran ejen tidak berlesen yang semakin berleluasa. Manakala Kelvin Yip, Presiden MIEA, menyifatkan Lencana Verified sebagai cara terbaik untuk mengangkat profesionalisme ejen sah dan mengembalikan keyakinan pelanggan.

    Bagi pencari hartanah, lencana ini berfungsi sebagai isyarat visual pantas dan boleh dipercayai, manakala bagi profesional berlesen, ia meningkatkan kredibiliti serta keterlihatan melalui penapis carian khusus.

    Dengan pelancaran ini, PropertyGuru menetapkan piawaian baharu industri memastikan setiap perjalanan hartanah bermula dengan keselamatan, ketelusan, dan profesional yang disahkan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Lencana PropertyGuru Verified, layari www.propertyguru.com.my.