Ledakan nostalgia bakal menggegarkan Shah Alam apabila sepuluh figura legenda muzik rock tanah air era 90-an kembali bersatu dalam satu pentas menerusi Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’an. Konsert yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025 ini akan diadakan di RCDbig Studio, tingkat lima Plaza Alam Sentral, dan dijangka menjadi antara acara paling dinantikan oleh peminat tegar muzik rock tanah air.
Mengangkat semula nama-nama besar yang pernah menguasai carta lagu suatu ketika dahulu, konsert ini membariskan barisan otai hebat seperti Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success). Setiap mereka dijangka menghidupkan semula memori indah peminat menerusi persembahan lagu-lagu ‘killer’ yang pernah menjadi siulan satu negara.
Dengan konsep unik yang menggabungkan elemen rock dan orkestra — Rockestra — konsert ini menjanjikan pengalaman berbeza, penuh emosi dan bertenaga, sesuai untuk semua lapisan peminat muzik yang ingin mengimbau zaman kegemilangan rock Malaysia.

Plaza Alam Sentral dipilih sebagai lokasi strategik yang mampu menampung sehingga 1,200 penonton pada satu-satu masa. Namun, bagi peminat yang tidak berpeluang hadir secara fizikal, pihak penganjur turut menyediakan akses tontonan secara streaming, membolehkan konsert ini dinikmati dari mana-mana lokasi di dalam dan luar negara.
Harga tiket bermula serendah RM188 bagi zon Bronze, RM288 (Silver), RM388 (Gold), RM488 (Platinum), dan RM1,888 bagi tiket eksklusif VIP. Bagi peminat yang memilih untuk menonton secara digital, tiket boleh dibeli pada harga RM20 sahaja. Semua pembelian boleh dibuat menerusi laman rasmi www.211eventempire.com.
Dianjurkan oleh 211 Event Empire, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi satu usaha merapatkan kembali hubungan antara artis dan peminat, serta meraikan legasi muzik rock tanah air yang tidak lapuk ditelan zaman. Tepat jam 9 malam, Shah Alam akan kembali berdentum dengan suara-suara keramat yang pernah menggetarkan jiwa generasi 90-an.
Peminat rock tempatan, ini masanya — jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan legenda dalam sebuah persembahan epik yang pastinya akan dikenang sepanjang zaman.
