Tag: #NostalgiaMalam

  • Aishah Kembali Dengan Konsert Solo Mega, 40 Chapters of Love Julai Ini

    Aishah Kembali Dengan Konsert Solo Mega, 40 Chapters of Love Julai Ini

    Legenda seni suara tanah air, Dato’ Aishah, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert solo berskala besar yang dinanti-nantikan, “Aishah 40 Chapters of Love”, yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8.00 malam di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Konsert anjuran Vox Nation Live ini merupakan konsert solo berskala besar pertama beliau dan menjanjikan sebuah malam yang bukan sekadar persembahan, sebaliknya satu perayaan penuh emosi yang menghimpunkan cinta, kenangan serta perjalanan seni beliau sepanjang 40 tahun dalam industri muzik.

    Mengangkat tema perjalanan hidup dan cinta melalui muzik, konsert ini akan membawa penonton menyelusuri setiap “bab” dalam karier gemilang beliau. Setiap lagu yang dipersembahkan bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, malah mengangkat kisah yang pernah hidup dalam jiwa para peminat. Antara lagu yang dijangka menjadi tumpuan termasuk “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, selain pelbagai lagi karya malar segar yang telah menjadi runut bunyi kehidupan ramai rakyat Malaysia.

    Menjelang konsert tersebut, Dato’ Aishah kini giat melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal bagi memastikan setiap persembahan mencapai tahap terbaik. Menurut beliau, konsert ini merupakan hadiah istimewa buat para peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seninya. Beliau turut meluahkan keterujaan untuk kembali ke pentas dan berkongsi momen bermakna bersama peminat, dengan harapan setiap lagu yang dipersembahkan mampu mengimbau kenangan serta menyentuh hati, sekali gus menjadikan malam itu sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang, menyifatkan konsert ini sebagai satu penghormatan terhadap legasi seni seorang ikon negara. Beliau menegaskan bahawa Dato’ Aishah merupakan antara nama penting dalam pembentukan sejarah muzik Malaysia, dan konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman menyeluruh yang akan menyentuh emosi penonton dari awal hingga akhir. Pihak penganjur juga berhasrat untuk memastikan setiap detik, lagu dan kenangan yang dibawakan di pentas dapat dirasai sepenuhnya oleh para peminat.

    Tiket bagi konsert “Aishah 40 Chapters of Love” akan mula dijual pada 17 April 2026, jam 3.00 petang melalui laman web Ticket2U, dengan harga yang ditawarkan mengikut beberapa kategori bermula daripada RM168 hingga RM788, termasuk kategori VVIP, VIP, Janji Manismu, Sensation, Paradise, Kasih Kita, Pulanglah dan Taman Keabadian.

    Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan radio dan media rasmi seperti Sinar FM, ERA FM, Mix FM, Lite FM, Gempak dan Meletop atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan konsert ini.

    Dengan gabungan vokal yang luar biasa, susunan muzik yang menyentuh jiwa serta produksi bertaraf tinggi, “Aishah 40 Chapters of Love” bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya merupakan satu pengalaman istimewa yang bakal menghidupkan kembali kenangan lama dan dalam masa yang sama mencipta momen baharu yang sukar dilupakan.