Tag: #NIAT

  • “NIAT” oleh Zynakal: Kisah Keikhlasan dan Ketakutan untuk Mencintai

    “NIAT” oleh Zynakal: Kisah Keikhlasan dan Ketakutan untuk Mencintai

    Zynakal kembali dengan single terbaharu berjudul “NIAT”, sebuah karya yang menyentuh sisi emosi tentang keikhlasan, ketakutan untuk jatuh cinta dan dilema dalam membuka hati selepas melalui pelbagai pengalaman hidup.

    Dikenali sebagai antara figura muzik dengan identiti tersendiri dalam dunia hip hop dan pop urban tempatan, Zynakal sekali lagi mengetengahkan penulisan yang dekat dengan realiti generasi muda hari ini. “NIAT” membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang cuba memahami maksud sebenar sebuah hubungan, sama ada kehadiran seseorang itu lahir daripada cinta atau sekadar mengisi kekosongan hati.

    Melalui lirik seperti “apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati”, lagu ini menggambarkan konflik dalaman seseorang yang takut untuk terlalu rapat akibat trauma dan pengalaman lalu, namun pada masa sama mula menyedari perasaan yang semakin sukar untuk disembunyikan.

    Nama Zynakal bukan asing dalam industri muzik Malaysia. Sebelum bergelar penyanyi, beliau terlebih dahulu mencipta nama sebagai komposer dan penerbit rakaman menerusi lagu-lagu popular seperti “Sabar” nyanyian Ismail Izzani, “Selamat Tinggal Sayang” oleh Haqiem Rusli serta “Terasa Cinta” nyanyian Fara Hezel dan Aiman Tino.

    Kerjaya nyanyiannya mula melonjak menerusi single “Terbang” pada tahun 2018 sebelum fenomena “Sakit” bersama Yonnyboii meletakkan namanya sebagai antara artis muda paling berpengaruh dalam muzik arus perdana tempatan. Lagu tersebut pernah menduduki tangga pertama carta RIM ‘Single Paling Distrim di Malaysia’ selama lapan minggu berturut-turut.

    Sepanjang perjalanan seninya, Zynakal turut melalui pelbagai fasa kehidupan yang membentuk dirinya sebagai pengkarya yang lebih matang dan jujur dalam penulisan. “NIAT” menjadi refleksi kepada emosi dan pengalaman yang dekat dengan realiti ramai pendengar, khususnya tentang rasa takut untuk mencintai namun pada masa sama berharap untuk difahami.

    Dengan susunan muzik yang minimal tetapi emosional, “NIAT” hadir dengan gabungan melodi santai dan lirik yang mudah melekat, sekali gus menjadikannya lagu yang relatable buat pendengar yang pernah berdepan situasi hubungan yang tidak pasti.

    “NIAT” kini boleh distrim di semua platform digital.