Tag: #NFOS2025

  • Northern Festival Of Speed Target 70,000 Pengunjung Tahun Ini

    Northern Festival Of Speed Target 70,000 Pengunjung Tahun Ini

    Julung kali diadakan, Northern Festival Of Speed (NFOS) berjaya mencuri perhatian peminat arena permotoran di utara tanah air. Penganjuran karnival permotoran terbesar ini adalah hasil kolaborasi antara Northern Speedo dan Choii Motorsports dengan PMH (Perniagaan Mazlan & Hashimah) sebagai penaja utama, selain sokongan penaja-penaja lain. Acara yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober di PICCA Butterworth, Pulau Pinang ini menjanjikan kemeriahan tersendiri dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran gaya hidup, automotif, hiburan serta aktiviti keluarga.

    Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, menyatakan rasa bangga menjadi penaja utama NFOS sebagai tanda sokongan terhadap industri automotif Malaysia. Menurutnya, program sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati koleksi kereta unik dari pelbagai negara, tetapi juga memupuk minat generasi muda terhadap dunia automotif. PMH membuka booth pameran dan jualan kereta import recond serta membawakan motosikal elektrik LION G1 GGR EV, membolehkan pengunjung merasai pengalaman pandu uji motosikal EV yang sedang meningkat popularitinya.

    Selain itu, PMH dan GGR menyokong usaha kerajaan dalam memperluaskan penggunaan teknologi kenderaan elektrik yang mesra alam, selamat dan menjimatkan. Izwan menekankan bahawa automotif kini bergerak ke arah mobiliti hijau, dan NFOS menjadi platform terbaik untuk memupuk kesedaran rakyat mengenai kepentingan penggunaan EV dalam kehidupan seharian.

    PICCA Pulau Pinang dipilih kerana keluasan tapaknya yang sesuai menampung pelbagai aktiviti, termasuk sokongan daripada pempengaruh automotif terkenal seperti Motor Maniac, Uncle Shah, Nim 199, Retro Havoc, Alie Kuoppa, Abe Mey Sarman Printing, Narock, Bateriku dan ESR. Acara ini turut menarik peminat automotif dari luar negara, termasuk Thailand dan Singapura, dengan aktiviti seperti drift, pertunjukan kereta rare dan pelbagai program interaktif lain.

    PMH sebelum ini terlibat dengan beberapa karnival rakyat dan program automotif, namun NFOS menjadi acara terbesar mereka dengan tawaran hadiah cabutan bertuah yang mengujakan. Hadiah utama termasuk sebuah Mercedes A Class W177 berharga RM 200,000, bersama model Nissan 350Z dan Honda Civic FD. Dengan harga tiket masuk RM 15, pengunjung dapat menikmati pameran kereta unik, menyertai pertandingan seperti limbo stance dan 2 step competition, serta menikmati konsert artis popular seperti XPDC, Cherpen, 53 Universe dan K.O.I.

    Acara selama tiga hari ini bermula pada jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam, dengan kemuncak program pada hari Ahad yang menampilkan pengumuman pemenang hadiah utama cabutan bertuah. Penganjur Faris Azri dari Choii Motorsports dan Muhammad Hadzimi pengasas Northern Speedo menyasarkan lebih 70,000 pengunjung sepanjang festival berlangsung, menandakan NFOS sebagai salah satu acara permotoran terbesar di Malaysia tahun ini.