Tag: #MuziumMalaysia

  • Citra Nusa@Muzium 2025: Warisan Pribumi ASEAN Disatukan di Malaysia

    Citra Nusa@Muzium 2025: Warisan Pribumi ASEAN Disatukan di Malaysia

    Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sekali lagi mengangkat warisan budaya serantau dengan penganjuran Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 yang berlangsung meriah di ibu negara hari ini. Majlis perasmian festival tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami.

    Penganjuran program ini dianggap signifikan kerana bertepatan dengan tema KPN bagi tahun 2025 iaitu “Harmoni Dalam Kepelbagaian”. Festival tersebut menampilkan kepelbagaian budaya, seni dan warisan masyarakat Orang Asli serta pribumi dari seluruh negara ASEAN yang ditonjolkan melalui persembahan kebudayaan, pameran dan aktiviti kesenian.

    Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Puan Saraswathy menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini memberi nilai tambah yang besar kepada institusi muzium dalam memperkukuh naratif warisan negara. Menurut beliau, muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak, sebaliknya berperanan menyuburkan penghayatan masyarakat terhadap kekayaan budaya, sejarah dan alam semula jadi yang membentuk identiti nasional.

    Beliau turut menyeru agar JMM terus memperkasakan Muzium Adat di Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan utama dalam mempromosikan kepelbagaian adat dan budaya etnik di Malaysia. Katanya, Muzium Adat bukan sahaja mampu memperluas pemahaman masyarakat terhadap warisan dan nilai budaya tempatan, malah berperanan penting dalam menyemai semangat perpaduan berasaskan saling menghormati serta penerimaan terhadap perbezaan yang menjadi asas keharmonian negara.

    Sepanjang berlangsungnya festival ini, para pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan seni budaya daripada negara-negara ASEAN, pertandingan menyumpit, permainan tradisi kerchang, kuiz interaktif, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah. Penganjuran program ini bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik masyarakat tentang kepelbagaian warisan rantau yang wajar dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.