Tag: #MovingOnSheilaMajid

  • Sheila Majid Kembali dengan “Moving On” Sempena 4 Dekad Seni

    Sheila Majid Kembali dengan “Moving On” Sempena 4 Dekad Seni

    Empat dekad bukan tempoh yang singkat untuk mana-mana penggiat seni, namun bagi Sheila Majid penyanyi bersuara lunak yang sinonim dengan kematangan vokal dan pesona elegan ia menjadi bukti ketahanan, keazaman dan cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap muzik. Dari era 80-an yang menyaksikan kemunculan lagu ikonik seperti Sinaran, hingga ke hari ini, Sheila kekal relevan dan terus menyentuh hati generasi demi generasi.

    Bersempena ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam dunia seni, Sheila Majid tampil dengan single terbaharu berjudul Moving On. Lagu ini bukan sekadar projek muzik baharu, sebaliknya merupakan simbolik kepada fasa hidup, evolusi peribadi serta mesej kekuatan dan kebebasan yang ingin disampaikan oleh seorang artis yang telah melalui pelbagai warna kehidupan. Diperkenalkan secara eksklusif dalam satu acara istimewa di Pavilion Damansara Heights, pelancaran Moving On turut menarik perhatian peminat setia, media serta rakan industri sekali gus membuktikan bahawa Sheila Majid masih punya tempat yang kukuh di hati rakyat Malaysia.

    Dalam nada yang jujur dan matang, Moving On mempersembahkan semangat penyembuhan dan keupayaan untuk bangkit semula selepas melalui detik-detik sukar. Dibaluti irama nu-disco moden dengan sentuhan nostalgia era disko 80-an, lagu ini menyerlahkan sisi artistik Sheila yang sentiasa berani bereksperimen tanpa melupakan akar muziknya. “Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa,” kata Sheila, menegaskan bahawa muzik baginya adalah tentang perasaan yang tulen dan pengalaman hidup yang jujur.

    Kerjasama dengan penerbit tersohor dari Korea Selatan, Hyuk Shin, menyuntik nafas global dan kontemporari ke dalam Moving On. Lagu ini turut mengambil inspirasi daripada artis lagenda seperti Donna Summer dan Diana Ross, menepati cita rasa muzik Sheila yang mengakar dalam era kegemilangan groove dan city pop genre yang kini kembali mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda. Malah, menurut Sheila, kebangkitan semula minat terhadap lagu lamanya seperti Sinaran selepas era pandemik menjadi pencetus semangat untuk kembali berkarya.

    Bagi Sheila, Moving On adalah suara kepada jiwa-jiwa muda yang masih mencari identiti di tengah lautan digital yang penuh tekanan. Lagu ini membawa mesej penting bahawa setiap individu berhak untuk bangkit, menyembuh, dan mara ke hadapan tanpa dibebani oleh kekecewaan silam. Ia adalah lagu yang menggalakkan penerimaan diri dan kebebasan emosi, sesuatu yang semakin berharga dalam dunia moden hari ini.

    Pelancaran single ini turut disertai dengan pelbagai aktiviti menarik untuk para peminat. Antaranya, gerai foto bertemakan era 80-an yang membolehkan pengunjung mengabadikan kenangan dengan suasana retro, lengkap dengan cetakan gambar dan akses kandungan digital eksklusif. Turut ditayangkan buat kali pertama adalah muzik video rasmi Moving On, yang dijadualkan muncul di saluran YouTube SheilaMajidOfficial pada 1 Ogos 2025. Sebuah persembahan istimewa yang menampilkan bakat-bakat muda seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong turut menyemarakkan acara yang bakal berlangsung penuh meriah pada awal September nanti.

    Tidak ketinggalan, sebuah pameran khas akan diadakan di concourse Pavilion Damansara Heights menampilkan koleksi memorabilia sepanjang perjalanan seni Sheila Majid sejak 1985. Daripada busana pentas ikonik hingga ke rakaman detik-detik penting dalam kerjaya beliau, pameran ini dijangka menjadi tarikan utama yang menghubungkan peminat baru dan lama dalam meraikan legasi seorang bintang sejati.

    Moving On bukan sekadar lagu baharu ia adalah lambang perjalanan, kematangan dan harapan,” ujar Kim Lim dari Universal Music Malaysia. “Sheila bukan hanya legenda, beliau masih mencipta seni yang menyentuh dan terus memberi inspirasi.”

    Empat puluh tahun telah berlalu, namun Sheila Majid tetap berdiri megah di pentas muzik tanah air bukan sekadar sebagai penyanyi, tetapi sebagai simbol keanggunan, kekuatan dan ketulusan seni. Moving On bukan penutup, tetapi permulaan kepada bab baharu seorang legenda yang tidak pernah berhenti melangkah.