SHAH ALAM, SELANGOR, 30 Ogos 2026 – Kembali untuk edisi kali kelima, MotorManiac Festival 2026 dijangka tampil sebagai antara festival gaya hidup automotif paling meriah di Malaysia tahun ini.
Berlangsung pada 5 hingga 6 September 2026 di Rooftop, Aras 7, MyTOWN Kuala Lumpur, festival selama dua hari ini bakal menggabungkan pameran kereta berprestasi tinggi, hiburan muzik, cabutan bertuah, koleksi barangan eksklusif serta pelancaran produk baharu.
Lebih 40,000 peminat automotif dijangka hadir bagi memeriahkan festival tersebut yang bukan sahaja meraikan dunia automotif, malah menggabungkan elemen muzik, budaya jalanan dan gaya hidup urban.

Menjelang pembukaan rasmi, MotorManiac telah mengadakan Sidang Media MotorManiac 2026 pada 30 Ogos 2026 di ibu pejabatnya di Shah Alam bagi memperkenalkan beberapa inisiatif utama yang memperkukuhkan aspirasi jenama itu sebagai sebuah ekosistem gaya hidup automotif terkemuka di Malaysia.
Dianjurkan oleh Bateriku, penyedia bantuan tepi jalan di Malaysia, MotorManiac Festival 2026 terus mengukuhkan kedudukannya menerusi kerjasama strategik bersama Astra selaku Penaja Utama. Festival ini turut mendapat sokongan Petronas Syntium sebagai Penaja Bersama, Lazada sebagai Rakan Tiket Rasmi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Red Bull, MyTOWN Shopping Centre, Retrohavoc dan GGR turut tampil sebagai rakan penaja dan penyokong festival. F&N pula menyertai acara ini sebagai Rakan Minuman Rasmi bagi memastikan pengunjung kekal terhidrat sepanjang festival berlangsung.
Antara tarikan utama edisi kali ini ialah kerjasama bersama DEF JAM Southeast Asia sebagai Rakan Pentas Rasmi. Festival muzik secara open-air bakal menampilkan barisan artis popular seperti Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J, Yonnyboii, AbangSapau dan DJ CZA.
Kerjasama eksklusif bersama DEF JAM Southeast Asia turut diteruskan menerusi koleksi merchandise khas MotorManiac Festival 2026 yang mengandungi 12 SKU untuk peminat mendapatkan barangan edisi terhad sempena festival tahun ini.
Dari dunia budaya jalanan pula, Jom Battle kembali sebagai Rakan Rasmi B-Boy dan diketuai oleh Sora. Festival tahun ini turut menampilkan Keep It Street by Zeem Ahmad, atlet Red Bull Malaysia dalam acara bola sepak gaya bebas, yang bakal mengetengahkan budaya jalanan yang lebih dinamik.
Gabungan automotif dan gaya hidup urban ini menjadi antara identiti utama MotorManiac Festival 2026, sekali gus menjadikan acara tersebut lebih daripada sekadar pameran kereta.
Dalam perkembangan dunia drift pula, MotorManiac bakal mengumumkan MotorManiac Drift Academy serta pasukan drift ASTRA yang menghimpunkan beberapa nama besar dalam arena drift antarabangsa.
Antaranya ialah Rome Charpentier, pelumba Formula Drift PRO1 dari Amerika Syarikat; Vernon Zwaneveld, hakim drift antarabangsa bertauliah FIA dan jurulatih drift; Dika Champion, pelumba drift kebangsaan Indonesia serta Pengurus Operasi Sentul International Circuit; dan Alvito Hardianto, antara pelumba drift terkemuka Indonesia.
MotorManiac Drift Academy juga merupakan salah satu ahli pengasas World Drift School Alliance (WDSA). Kerjasama ini dirancang untuk melahirkan generasi baharu pelumba drift Malaysia menerusi latihan berstruktur, kerjasama antarabangsa, program pertukaran pelajar serta laluan pembangunan profesional dalam arena drift.
WDSA merupakan hasil kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat dan Belanda. Dengan sokongan tokoh drift antarabangsa serta hakim bertauliah FIA, akademi ini menyediakan laluan pembangunan kepada pelajar untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk di Jepun dan Amerika Syarikat.
Penembusan MotorManiac di peringkat antarabangsa turut diteruskan menerusi kerjasama bersama media automotif dan barisan pempengaruh dari dalam serta luar negara. Nama seperti CarCulth, Smokey Nicole, Tatsu Miyagawa, Clay Wong dan Final Drive antara yang bakal mewarnai festival tahun ini.
Kehadiran nama-nama tersebut mencerminkan usaha MotorManiac untuk mengembangkan platformnya bukan sahaja di Malaysia, tetapi turut mendapat pengiktirafan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Bagi peminat model kereta mini, Mini Diecast Expo turut disediakan sebagai salah satu tarikan festival. AZJ Printing dan Sarman Printing pula menyokong penganjuran acara sebagai Rakan Percetakan Rasmi.
Memasuki edisi kelima, MotorManiac juga terus berkembang melangkaui penganjuran festival fizikal menerusi pengenalan aplikasi MotorManiac.
Aplikasi tersebut direka sebagai platform automotif digital sehenti yang menghubungkan penggemar kereta, jenama serta rakan antarabangsa kepada pelbagai solusi seperti penjualan tiket, merchandise, komponen prestasi, penjualan jentera dan forum komuniti.
Platform ini juga dirancang untuk menjadi ruang kepada pemain industri automotif, dengan beberapa jenama seperti DeWalt dan Works Engineering antara yang telah menyertainya.
Selain aplikasi, MotorManiac turut memperkenalkan produk baharu ASTRA-X, iaitu bateri automotif berasaskan teknologi lithium iron phosphate (LFP).
ASTRA-X merupakan bateri berprestasi tinggi yang ringan dan tahan lasak, direka khusus untuk memenuhi keperluan perlumbaan dan drift. Bateri tersebut direka untuk terus membekalkan tenaga kepada jentera walaupun berlaku kegagalan alternator serta boleh dipulihkan selepas mengalami deep discharge.
Dengan fokus kepada prestasi dan ketahanan, ASTRA-X dibangunkan untuk memenuhi keperluan sukan permotoran kompetitif yang memerlukan bekalan tenaga konsisten ketika setiap saat amat penting.
Bagi menambahkan lagi keterujaan pengunjung, MotorManiac Festival 2026 turut menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Nissan Cefiro A31 yang telah dibangunkan khas oleh pasukan MotorManiac untuk kegunaan pemanduan dan drift.
Setiap pembelian merchandise rasmi MotorManiac bernilai RM50 melayakkan pembeli mendapat satu peluang menyertai cabutan bertuah.
Selain Nissan Cefiro A31, pelbagai hadiah lain turut ditawarkan sepanjang festival, termasuk GGR Electric Bike, Teg Suspension Kit, Young Wrap Car Wrap, OMP Racing Helmet, Defi Meter Set dan Teg Tools daripada DeWALT.
Tiket MotorManiac Festival 2026 dijual pada harga RM30 untuk kemasukan satu hari, manakala pas dua hari ditawarkan pada harga RM50.
Pengunjung boleh mendapatkan merchandise serta tiket menerusi rakanbateriku.com, aplikasi Lazada atau secara walk-in.
Dianjurkan oleh Bateriku, MotorManiac Festival 2026 membawa aspirasi “Bukan Sekadar Bateri” ke tahap yang lebih luas dengan membina sebuah ekosistem yang menghubungkan automotif, komuniti, hiburan dan gaya hidup.
Dengan gabungan kereta berprestasi tinggi, drift, muzik DEF JAM, budaya jalanan, teknologi automotif, merchandise eksklusif dan cabutan bertuah, MotorManiac Festival 2026 dijangka menjadi antara acara automotif paling dinanti-nantikan di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 September ini.
