Magnum Opus ialah istilah Latin yang merujuk kepada karya terpenting seseorang seniman. Dalam konteks Dato’ M. Nasir, istilah ini membawa makna yang lebih luas apabila keseluruhan perjalanan seni beliau selama lima dekad menjadi manifestasi kepada legasi yang ditinggalkan melalui karya, pemikiran dan pengaruhnya terhadap muzik Melayu moden.
Bermula pada 1979 hingga 2026, perjalanan seni Dato’ M. Nasir telah merentasi lima dekad sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menghasilkan lebih daripada 2,000 karya muzik yang merangkumi pelbagai genre serta generasi.
Karya-karya Dato’ M. Nasir bukan sekadar lagu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada identiti muzik Melayu moden. Kekuatan lirik, melodi, pemikiran dan pendekatan kreatifnya telah menjadikan karya beliau sebagai suara kepada pelbagai zaman dan terus mempengaruhi perkembangan muzik tanah air.
“Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” meneruskan kesinambungan dua produksi terdahulu, iaitu Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo pada 2017 di MATIC yang menelusuri perjalanan seni M. Nasir daripada era Kembara sehingga album Solo.
Ia kemudiannya disusuli Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll pada 2019 di Auditorium DBKL menerusi forum rock yang menghimpunkan tokoh industri seperti Dato’ Awie, Dato’ Aziz Bakar dan Allahyarham Bob Lokman.
Bagi edisi Dekad Ke-5, Magnum Opus kembali sebagai sebuah persembahan pentas yang menelusuri lima dekad penciptaan, perubahan zaman serta evolusi pemikiran dan muzik Dato’ M. Nasir.
Antara keistimewaan utama produksi kali ini ialah pementasan semula 30 karya ikonik Dato’ M. Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Karya-karya terpilih tersebut akan diberi nafas baharu melalui susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie, pengarah muzik yang mempunyai pengalaman luas serta pernah menjadi antara tulang belakang kepada pelbagai produksi dan persembahan Dato’ M. Nasir.
Dalam persembahan berdurasi kira-kira 150 minit, vokal dan tenaga pentas Dato’ M. Nasir akan digabungkan dengan kekuatan pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Encik Eric Lee Yin Fah.
Gabungan ini dijangka menghasilkan pengalaman muzikal yang lebih sinematik, dinamik dan emosional, selain memberikan perspektif baharu terhadap karya-karya yang telah dikenali dan dekat dengan masyarakat selama beberapa dekad.
Setiap karya yang dipilih mewakili era serta fasa penting dalam perjalanan seni Dato’ M. Nasir. Penonton berpeluang menelusuri evolusi penulisan lirik, penciptaan melodi dan susunan muzik beliau dalam sebuah pengalaman yang dirangka khusus untuk pentas simfoni.
Dari sudut artistik, “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” mengangkat pendekatan surrealisme yang disuntik dengan elemen falsafah dan simbolisme, selari dengan karakter seni Dato’ M. Nasir yang terkenal dengan karya puitis, imaginatif dan berlapis makna.
Pendekatan tersebut bukan sahaja membentuk bahasa visual persembahan, malah menjadi sebahagian daripada pengalaman keseluruhan konsert. Ia mengajak penonton melihat karya-karya Dato’ M. Nasir bukan semata-mata sebagai lagu, tetapi sebagai cerminan perjalanan pemikiran dan ekspresi seorang seniman.
Ismail Shariff merupakan pencetus idea asal Magnum Opus yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah siri persembahan bagi meraikan karya serta perjalanan seni Dato’ M. Nasir.
Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Shabromo menerajui produksi sebagai Pengarah Konsert dan Artistik. Beliau bertanggungjawab membentuk hala tuju kreatif serta keseluruhan bahasa visual dan persembahan agar selari dengan visi Magnum Opus.
Keon Omar selaku Penerbit Eksekutif konsert berharap penganjuran ini dapat terus memelihara dan mengangkat warisan seni muzik Melayu, di samping membuka ruang kepada generasi pemuzik dan pencipta muda untuk mengenali serta menghargai kedalaman karya seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tanah air.
Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya amat bertepatan dengan karakter dan skala produksi ini, khususnya dalam mempertemukan seni persembahan pentas dengan kekuatan sebuah orkestra simfoni dalam ruang yang sinonim dengan persembahan seni bertaraf tinggi.

Sepanjang perjalanan seninya, Dato’ M. Nasir telah menerima pelbagai pengiktirafan utama industri termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik serta pengiktirafan daripada MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara.
Namun, legasi seorang seniman tidak hanya terletak pada jumlah karya atau deretan anugerah yang diterima. Nilai sebenar legasi Dato’ M. Nasir terletak pada karya-karya yang terus didengar, dinyanyikan, dimainkan, ditafsir dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Lima dekad perjalanan beliau membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kekuatan seni dan pemikiran mampu melangkaui zaman.
Justeru, “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan, tetapi sebagai apresiasi budaya terhadap khazanah muzik tanah air. Ia menjadi manifestasi keraian terhadap perjalanan seorang seniman, di samping mempertemukan warisan muzik lima dekad dengan generasi masa kini.
Program sampingan turut akan diadakan di ruang legar Istana Budaya, termasuk pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara berkaitan penerbitan buku mengenai karya muzik M. Nasir.
Konsert ini mendapat insentif Dana Kandungan Kreatif – Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures, manakala Istana Budaya bertindak sebagai Rakan Strategik.
Tiket “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” akan mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026, jam 3.00 petang menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.
Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori, merangkumi Stalls iaitu Kategori A pada harga RM1,588, Kategori B RM1,188, Kategori C RM988 dan Kategori D RM838. Grand Circle pula menawarkan Kategori E pada harga RM638 dan Kategori F RM538, manakala Upper Circle menawarkan Kategori G pada harga RM338 dan Kategori H RM288.
Luncai Emas Sdn. Bhd. bersama seluruh rakan kerjasama menjemput para peminat muzik, penggiat seni, rakan media, rakan strategik dan masyarakat umum untuk bersama-sama menjadi saksi kepada sebuah detik istimewa apabila lima dekad perjalanan seorang seniman diterjemahkan melalui muzik, puisi, falsafah dan bunyi simfoni.
