Tag: #MerdekaWarisanHiTea

  • Warisan Rasa Merdeka di Hotel Premiera, Hi-Tea Eksklusif Bersama Dr. Liza Zainol

    Warisan Rasa Merdeka di Hotel Premiera, Hi-Tea Eksklusif Bersama Dr. Liza Zainol

    Dalam semangat meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-68, Hotel Premiera Kuala Lumpur dengan sukacitanya menganjurkan Merdeka Warisan Hi-Tea yang mengetengahkan tema “Merdeka Mengangkat Warisan Melalui Rasa dan Budaya”.

    Acara istimewa ini akan diadakan pada 28 Ogos 2025 bermula jam 2.00 petang hingga 6.30 petang bertempat di Dewan Ballroom Hotel Premiera Kuala Lumpur. Program ini mempertemukan dua personaliti kulinari negara iaitu Chef Selebriti Dr. Liza Zainol bersama Chef Eksekutif Hotel Premiera, Chef Dzulkarnain. Mereka akan berganding tenaga untuk menghidangkan seleksi juadah Hi-Tea yang diinspirasikan daripada resipi klasik dan warisan masakan tradisional Malaysia.

    Dengan berpegang kepada tema yang dipilih, acara ini bukan sekadar pengalaman menjamu selera, malah merupakan wadah untuk menghargai dan mengekalkan kekayaan budaya serta khazanah kulinari bangsa. Setiap sajian disusun rapi bagi membawa tetamu merasai keunikan identiti Malaysia yang diwarisi dari generasi ke generasi.

    Antara menu menarik yang bakal dihidangkan termasuklah Nasi Lemuni Sambal Ikan Talang Masin, Nasi Ulam Kampung bersama Sayur Keladi, Nasi Dagang dengan Gulai Ikan Tongkol, Nasi Ambeng Ungkap Ayam, serta pelbagai hidangan pencuci mulut seperti Ubi Telampung, Bubur Cha Cha Nangka, Kuih Sagu Puteri Salju dan Kuih Cara Bengkang Bebawang. Tidak ketinggalan, gerai masakan secara langsung turut disediakan dengan sajian seperti Cucur Jagung Kuah Kacang dan pelbagai lagi pilihan lain.

    Bagi memeriahkan acara, tetamu juga berpeluang menikmati aktiviti tambahan termasuk demonstrasi masakan secara langsung, pemberian cenderamata eksklusif, serta suasana bergambar dengan dekorasi bertema Merdeka yang pastinya akan menambah memori indah sepanjang majlis.

    Tawaran harga promosi Early Bird diberikan pada kadar RM88 seorang bagi tempahan yang dibuat sebelum 20 Ogos 2025. Selepas tarikh tersebut, harga walk-in ditetapkan pada RM108 seorang. Tempahan boleh dilakukan dengan menghubungi talian 03-2615 1000.

    Bagi meraikan semangat kebangsaan, para tetamu digalakkan mengenakan pakaian tradisional seperti baju kurung, baju Melayu atau busana yang berkonsepkan Merdeka. Tempat duduk adalah terhad dan pihak hotel menggalakkan tempahan awal bagi memastikan penyertaan.

    Sebagai sebahagian daripada kemeriahan sambutan, Hotel Premiera turut memperkenalkan Merdeka Buffet Lunch dan Hi-Tea yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 16 September 2025. Ini adalah peluang terbaik untuk para tetamu menikmati sajian berkonsepkan warisan sepanjang tempoh sambutan Hari Malaysia.