Tag: #Mawar

  • “Mawar” Berinspirasikan Kisah Sebenar, 4U Music Ungkap Erti Cinta Sejati

    “Mawar” Berinspirasikan Kisah Sebenar, 4U Music Ungkap Erti Cinta Sejati

    Band pop/rock/ballad dari Kuala Terengganu, 4U Music, terus mengukuhkan langkah dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul “Mawar” pada 2 Januari 2026. Aktif sejak 2023, kumpulan ini dikenali dengan persembahan pentas yang bertenaga serta sarat emosi, menjadikan setiap persembahan sebagai ruang tanpa sempadan antara band dan penonton, selari dengan semangat yang sering mereka laungkan, “Stage pun crowd yang punya.” Pendekatan ini menjadikan 4U Music semakin dekat di hati peminat.

    Dianggotai oleh Akim selaku pemain bass, Aiman (gitar), Payeh (dram) dan Juna sebagai vokalis, 4U Music membina nama secara konsisten menerusi persembahan pentas, jemputan korporat serta keaktifan di platform media sosial. Usaha berterusan ini menjadi asas kepada kematangan muzik yang dipamerkan dalam single “Mawar”, yang jelas menampilkan sisi lebih mendalam dan emosional berbanding karya-karya terdahulu.

    Menurut Juna, “Mawar” terlahir daripada kisah benar yang sangat dekat dengan kehidupan mereka. Lagu ini bukan sekadar berkisar tentang kehilangan, sebaliknya mengangkat keikhlasan untuk melepaskan insan tersayang demi kebahagiaan mereka, sekali gus membuktikan bahawa cinta sejati benar-benar wujud. Aiman selaku penulis dan pencipta lagu turut menyifatkan “Mawar” sebagai doa terakhir seorang kekasih, yang menggambarkan cinta sejati tidak pernah berakhir walaupun dipisahkan oleh perpisahan atau kematian, sebaliknya terus hidup sebagai kenangan dan doa.

    Berbeza dengan single terdahulu “Tulip” yang lebih ceria dan rancak, “Mawar” memilih genre pop balad bagi menyalurkan emosi dan mesej lagu secara lebih jujur kepada pendengar. Karya ini menjadi simbol kematangan 4U Music dalam penceritaan muzik, selain mencerminkan kejujuran mereka dalam berkarya. Kumpulan ini turut berharap dapat terus bersaing secara sihat dalam industri muzik tanah air, sambil menghargai sokongan sahabat dan peminat yang menjadi tulang belakang perjalanan seni mereka.

    Selain boleh didengari di semua platform penstriman digital, peminat juga berpeluang menonton muzik video rasmi “Mawar” yang dilancarkan di YouTube NSR Malay pada 2 Januari 2026, sekali gus melengkapkan pengalaman emosi yang ingin disampaikan oleh 4U Music menerusi karya ini.