Tag: #MajlisBerbukaPuasa

  • Majlis Berbuka Puasa Bersama Media serta Pelancaran Filem “Tiket Sehala”

    Majlis Berbuka Puasa Bersama Media serta Pelancaran Filem “Tiket Sehala”

    Bersempena kehadiran Ramadan, Key Billions Sdn. Bhd. telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa pada 2 Mac 2026 yang bukan sekadar menjadi platform silaturahim industri, malah menyaksikan pelancaran rasmi filem terbaharu terbitan mereka berjudul Tiket Sehala. Acara yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan itu turut menghimpunkan barisan pelakon, penggiat industri serta rakan media.

    Filem arahan Rahila Ali ini mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara, satu isu yang semakin membimbangkan dan melibatkan ramai rakyat Malaysia. Menurut Rahila, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar yang mencerminkan realiti global. Karya tersebut diterbitkan atas rasa tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang risiko dan akibat menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

    Filem ini menampilkan barisan pelakon pelbagai latar termasuk Noki K-Clique, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo dan Ardell Aryana. Lebih menarik, produksi ini turut membabitkan pelakon dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia seperti Hyunjun Sun, Ninja SuperThai dan Naufal Samudra, menjadikannya sebuah projek kolaborasi rentas negara.

    Penggambaran filem ini turut dijalankan di Korea Selatan dengan gabungan kru produksi Malaysia dan negara berkenaan. Menurut Pengasas Key Billions, Eddie Yap, kolaborasi tersebut membuka peluang kepada kru tempatan untuk mempelajari teknik dan pendekatan baharu sekali gus meningkatkan kualiti produksi filem tempatan pada masa hadapan.

    Pada majlis sama, Key Billions turut mengumumkan penubuhan Key Billions Distribution sebagai cabang pengedaran rasmi syarikat itu. Jika sebelum ini filem Soloz: Game Of Life diedarkan pihak lain, Tiket Sehala akan menjadi projek pertama yang sepenuhnya diuruskan oleh unit pengedaran dalaman tersebut, termasuk aspek promosi dan tayangan pawagam.

    Selain itu, mereka turut memperoleh hak pengedaran bagi dua filem lain iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

    Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan robot eksklusif daripada Shadow Combat League, satu kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan sukan tempur, permainan dan teknologi berasaskan blockchain.

    Dengan pelancaran Tiket Sehala serta penubuhan unit pengedaran sendiri, Key Billions jelas menunjukkan komitmen serius dalam membangunkan industri perfileman tempatan ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.