Tag: #M6WorldChampionship

  • Aksi Epik MLBB M6 Kini di Tonton! Strim Kejohanan Dunia MLBB Secara PERCUMA!

    Aksi Epik MLBB M6 Kini di Tonton! Strim Kejohanan Dunia MLBB Secara PERCUMA!

    Berita baik buat peminat Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Malaysia! Kejohanan Dunia MLBB M6 kini kembali dengan lebih hebat dan mendebarkan. Bermula 7 hingga 15 Disember 2024, Tonton membawakan siaran langsung eksklusif kejohanan e-sukan bertaraf dunia ini terus ke skrin anda. Bersiap sedialah untuk menyaksikan pertempuran sengit tanpa henti selama 24 jam setiap hari!

    Kejohanan M6 kali ini menyaksikan penyertaan 16 pasukan terbaik dari serata dunia, termasuk dua wakil tempatan yang bakal menggegarkan arena — Selangor Red Giants dan Team Vamos. Mereka akan bertarung dengan pasukan ternama dari Filipina, Indonesia, Singapura, China, dan negara lain dalam misi merebut gelaran juara dunia. Peminat MLBB pasti teruja melihat pasukan kegemaran mereka beraksi dalam pertarungan penuh strategi, ketangkasan, dan semangat juang.

    Dengan tema #GreaterThanEver, edisi kali ini tampil dengan pelbagai pembaharuan menarik. Bukan sahaja dari segi format permainan, malah hadiah wang tunai juga telah dipertingkatkan kepada jumlah terbesar dalam sejarah M-series — sebanyak USD 1 juta! Dengan peringkat Swiss Stage, Knockout Stage, dan Grand Final yang dijadualkan dari 7 hingga 15 Disember, kejohanan ini menjanjikan saat-saat yang penuh debaran.

    Selepas lima tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada kejohanan M-Series. Ini merupakan peluang keemasan buat peminat tempatan untuk menyaksikan sendiri pertarungan sengit dalam suasana yang lebih dekat di hati. Kembalinya M6 ke tanah air pastinya menjadi kebanggaan kepada komuniti e-sukan tempatan, terutama apabila dua pasukan Malaysia turut bertanding untuk memburu kejuaraan.

    Persoalan paling hangat — siapakah yang bakal membawa pulang trofi M6 dan dinobatkan sebagai juara dunia MLBB? Adakah juara bertahan akan terus unggul, atau bakal muncul pemenang baharu yang memecahkan dominasi? Dengan format kejohanan yang lebih mencabar, setiap perlawanan dijangka sarat dengan aksi epik dan plot kejutan yang tidak dijangka.

    Tak perlu risau ketinggalan detik-detik penting kejohanan ini. Dengan Tonton, anda boleh menonton semua perlawanan secara PERCUMA! Muat turun aplikasi Tonton di telefon pintar anda atau layari www.tonton.com.my untuk mendaftar akaun dan menikmati akses penuh ke saluran khas MLBB. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan setiap saat penuh aksi dari peringkat Swiss Stage hingga ke Grand Final pada 15 Disember.

    Sebagai platform penstriman terkemuka di Malaysia, Tonton terus komited dalam menyokong industri e-sukan. Kerjasama bersama Mobile Legends: Bang Bang adalah langkah besar untuk memperkasakan ekosistem e-sukan di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada komuniti tempatan, khususnya golongan belia, untuk mengenali potensi besar dalam industri ini. E-sukan kini bukan sekadar permainan, malah ia menjadi platform kerjaya baharu yang menjanjikan prospek cerah.

    Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang M6 hanya berlangsung sekali setahun. Pastikan anda menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Saksikan pertempuran penuh emosi dan kesungguhan dari pemain profesional terbaik dunia. Kumpul rakan-rakan anda, nyalakan semangat dan sorak pasukan kegemaran anda sepanjang kejohanan ini berlangsung.

    Untuk mendapatkan kemas kini tentang Kejohanan Dunia M6 dan program lain yang disediakan Tonton, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram @tontonmy. Sertai perbualan dengan tanda pagar rasmi #Tonton dan #GreaterThanEver!

  • Faizal Tahir Semarakkan M6 World Championship 2024 dengan Lagu ‘Perjuangan Takkan Tamat’

    Faizal Tahir Semarakkan M6 World Championship 2024 dengan Lagu ‘Perjuangan Takkan Tamat’

    Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sekali lagi mencetuskan fenomena dalam dunia permainan elektronik dengan pelancaran lagu tema rasmi untuk M6 World Championship 2024 yang berjudul “Perjuangan Takkan Tamat”. Lagu penuh semangat ini dinyanyikan oleh penyanyi dan pencipta lagu terkenal Malaysia, Faizal Tahir, dan dihasilkan berdasarkan komposisi asal oleh Bjørgen van Essen.

    Pemilihan Faizal Tahir sebagai penyanyi rasmi lagu tema M6 World Championship adalah satu keputusan yang tepat, memandangkan Faizal terkenal dengan vokalnya yang bertenaga serta lagu-lagu yang mengangkat tema kesatuan, daya tahan, dan kebanggaan negara. Faizal adalah figura yang dihormati dalam industri muzik Malaysia, dan gaya muziknya secara semula jadi membangkitkan semangat dan motivasi—sesuatu yang selari dengan mesej kejohanan ini. Dengan rentak lagu yang rancak dan lirik yang penuh semangat, “Perjuangan Takkan Tamat” mencerminkan tema kejohanan yang menekankan daya tahan dan semangat juang.

    Bagi Faizal, lagu ini bukan hanya sekadar lagu tema untuk kejohanan, tetapi juga sebuah simbol untuk semua individu yang berusaha mengatasi cabaran hidup mereka. “Lagu ini adalah tentang semangat tidak pernah menyerah, walaupun dalam saat paling sukar. Ia adalah mesej sejagat untuk semua orang yang berjuang mencapai impian mereka,” kata Faizal Tahir.

    M6 World Championship 2024 adalah kejohanan flagship Mobile Legends: Bang Bang, dan akan bermula dengan Wild Card Stage, di mana lapan pasukan akan bertanding untuk mendapatkan satu tempat di Main Stage. Main Stage pula akan menampilkan 16 pasukan antarabangsa, termasuk pemenang Wild Card, yang akan bersaing merebut gelaran paling berprestij dalam sejarah esports MLBB.

    Sejak debutnya di Kuala Lumpur pada 2019, siri kejohanan M telah berkembang menjadi sebuah platform global yang menghubungkan peminat dari seluruh dunia. Kejohanan M5 World Championship mencatatkan angka penonton puncak sebanyak 5.06 juta menurut Esports Charts, dan M6 World Championship dijangka akan memberikan pengalaman yang lebih epik dengan peningkatan hadiah wang tunai kepada USD 1 juta.

    Dengan pelancaran lagu tema “Perjuangan Takkan Tamat”, Faizal Tahir membawa elemen unik yang bakal menyemarakkan semangat para pemain dan peminat MLBB di seluruh dunia. Lagu ini dijangka menjadi runut bunyi yang sempurna untuk kejohanan yang penuh dengan debaran dan semangat persaingan.

    Muzik video rasmi untuk lagu “Perjuangan Takkan Tamat” kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Faizal Tahir. Untuk menonton, klik pautan berikut: https://youtu.be/m0PeaUTthVc